CIK YB Suasana Petang yang nyaman. Pemandangan dari beranda di tingkat atas rumah memang mengasyikkan pandangan mata. Apa lagi jika ditemani angin senja yang menyentuh lembut kemuka dan bahagian tubuh yang terdedah. Sungguh menyamankan. Walaupun matahari masih memancarkan lagi sinarannya, namun ianya hanyalah sinaran matahari senja yang hanya menunggu waktu sirnanya, sebelum purnama mengganti tugas. Di kiri kotak penglihatan, tergambar susunan rumah teres dan beberapa blok apartmen yang berlatarbelakangkan kawanan awan senja berbagai bentuk. Manakala di kanan pula hanyalah gugusan daun-daun pepohon kelapa yang sepertinya melambai-lambai ke pelbagai arah angkara angin senja yang tak tahu kemana hala tuju mereka yang sebenarnya. Namun tumpuan sebenarnya diberikan ketengah-tengah kotak penglihatan yang terlukisnya sebuah rumah yang tak sebesar mana tetapi cukup besar ertinya dan indah memorinya dihati Ferdi. Bukan rumah orang lain, rumah bapa saudaranya sendiri.Apakah yang membuatkan kediaman bapa saudaranya itu amat bererti buat dirinya? Pakcik Fahmi yang tinggal bersama isteri dan tujuh orang anaknya itu, lima lelaki dan dua perempuan adalah keluarga sederhana. Walaupun umurnya sudah separuh abad, namun dia masih kuat bekerja sebagai kontraktor dikampung ini. Anak-anaknya pun sudah dewasa. Tinggal seorang sahaja yang masih melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Hubungan antara keluarga Ferdi dan Pakciknya itu juga seperti biasa sahaja. Tiada yang luarbiasa, tidak bermusuhan dan tidaklah baik sangat. Kadang-kadang adakalanya juga salah faham dalam hal-hal yang kecil namun ikatan tali persaudaraan meleraikan kekalutan yang melanda. Sebenarnya bukan keluarga Pakcik Fahmi yang menjadi tumpuan Ferdi. Ianya hanya mengingatkan Ferdi kepada seseorang di dalam ahli keluaga itu. Umpama tergamam melihat kandang singa. Bukan kandang yang ditakutkan tapi singa yang ada di dalamnya. Namun yang dimaksudkan bukanlah singa atau sesuatu yang menakutkan. Ianya adalah mahluk ciptaan tuhan yang indahnya setengah darjat kurang dari bidadari. Mungkin kurang lagi, atau mungkin juga jelmaan bidadari. Pendapat lelaki tentang wanita berbeza-beza. Cantik bagaimanapun seorang wanita itu masih ada lelaki yang mempertikaikannya. Begitu juga sebaliknya. Buruk bagaimanapun rupa seorang wanita itu masih ada lelaki yang mengkategorikannya sebagai wanita cantik. Begitulah tanggapan Ferdi kepada anak perempuan bongsu Pakcik Fahmi. Walaupun tidak setinggi Heidi Klum atau Sushmita Sen tetapi masih boleh bersaing jika membandingkan tingginya dengan Erra Fazira ataupun Aishah Sinclair. Bagi Ferdi, kecantikan gadis yang dimaksudkan itu tidak ubah bagaikan kemuncak keanggunan mutakhir seorang wanita. Fakta itu juga dipersetujui oleh ramai lagi belia kampung Paya Hilir dalam mesyuarat tidak rasmi di simpang-simpang jalan pada malam hari. Malah ada juga beliawanis kampung yang mencemburui kejelitaan anak gadis Pakcik Fahmi itu. Ini kerana gadis itu bukan sahaja memiliki wajah yang mereka idam-idamkan malah otaknya boleh dibuat batu geliga. Teruna mana yang tak terpikat dan gadis mana yang tak iri hati apabila dia menjadi anak jati pertama kampung itu yang terpilih menjadi wakil pelajar sekolah menengah negeri Selangor ke parlimen pada usia 16 tahun tiga tahun lepas. Bukan setakat itu sahaja, oleh kerana kebijaksanaannya membentangkan usul tentang gejala semasa sosial remaja dan nahas jalan raya yang dirangkanya sendiri ditambah pakej luaran yang bersesuaian dengan kehendak media massa zaman ini, wajahnya menjadi buruan lensa kamera wartawan media cetak untuk menghiasi akhbar dan majalah dan tak kurang juga yang menyiarkan cerita tentang dirinya. Pernah juga dia ke udara di kaca televisyen dan corong radio beberapa kali. Apa yang menjadi kebanggaan keluarga dan kampungnya bukanlah populariti yang dia kecapi, tetapi usulnya di parlimen telah digunapakai bagi mengurangkan masalah sosial remaja dan nahas jalan raya. Cadangannya supaya setiap kenderaan dipasang alat pengesan jarak yang membolehkan kelajuan kenderaan itu dikurangkan secara automatik apabila mencapai sesuatu jarak dengan kenderaan dihadapannya dalam kelajuan tertentu, telah di teliti oleh sebuah syarikat elektronik dan mempelawa gadis itu turut serta membuat penyelidikan tentangnya. Tiga bulan selepas itu muncullah satu alat yang dipanggil “Automatic Speed Decreasing by Sensor” (ASDS) atau Sensor Pengurang Kelajuan Automatik yang wajib dipasang pada setiap kenderaan. Kempen “mengangkat tangan di jalan raya” bagi memupuk rasa hormat dan menghargai pengguna jalan raya lain juga telah dijalankan oleh kerajaan dan hasilnya setelah tiga tahun, Malaysia telah mencapai kadar penurunan statistik kemalangan maut yang tertinggi di dunia pada tahun ini dengan penurunan sebanyak 45 peratus. Begitu juga dengan gejala sosial remaja yang menampakkan penurunan kes juvana setelah kerajaan meluluskan satu undang-undang mengenakan hukuman denda kepada ibu bapa yang anaknya didapati terbabit dalam kes juvana. Walaupun mendapat tentangan oleh beberapa pihak termasuk di kalangan ibu bapa sendiri dengan alasan kesalahan anak-anak jagaan mereka bukan tanggungjawab mereka semata-mata, undang-undang itu diteruskan setelah parlimen berpuas hati dengan cadangan susulan gadis pintar itu supaya denda yang dikenakan mengikut tahap kekerapan remaja itu melakukan kesalahan. Utuk kesalahan pertama mungkin lebih rendah daripada kesalahan kedua dan ketiga. Ini sekaligus dapat menggalakkan ibu bapa mengawal dan memantau pergerakan anak mereka, dengan siapa mereka berkawan dan banyak memberi nasihat serta peringatan kepada anak mereka. Bagi kesalahan kes rogol pula, gadis itu meminta supaya pihak berwajib menyiasat dengan teliti samada ianya benar-benar kes rogol atau menyerahkan kehormatan dengan rela hati. Kerana kebanyakan gadis remaja dengan rela hati menyerahkan kehormatan mereka kepada pasangannya dan membuat laporan polis selepas itu setelah diperkosa beramai-ramai oleh rakan pasangannya. Ini bermakna kesalahan tidak terletak pada pasangannya sahaja. Ada juga antara mereka yang membuat laporan polis setelah pasangannya enggan bertanggungjawab atas perbuatan yang dilakukan terhadap dirinya. Sebagai seorang gadis mereka harus menjaga kehormatan diri dari sesiapa sahaja termasuk teman lelaki sendiri. Maka tidak adil jika hanya sebelah pihak sahaja yang dipersalahkan jika terjadi hal sebegitu. Usul denda yang dipraktikkan itu masih lagi mendapat reaksi pelbagai pihak walaupun ianya ternyata berkesan mengurangkan kes juvana ke tahap yang memberangsangkan pada ketika ini. Mungkin kerana pihak yang mengkritik itu telah mengeluarkan wang yang banyak untuk membayar denda atas kesalahan anak remaja mereka. Dari situlah sepatutnya Ibu bapa mencari jalan bagaimana mendisiplinkan anak-anak mereka yang tidak mengerti bahasa itu. Itu hanya sebahagian usul-usulnya yang diterima pakai kerajaan. Ada banyak lagi yang diketengahkan dan sebahagiannya sedang dikaji untuk hasil yang lebih baik dan berkesan untuk rakyat negara ini. Selama satu tahun, bermula September 2006 hingga Ogos 2007 Wajahnya terpampang dimana-mana sekitar tanahair. Kenapa? Dia pernah menjadi duta pemasaran sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka di Malaysia! Tak kurang juga syarikat gergasi yang melamar dia untuk tujuan yang sama. Yelah…. Dah popular kan. Tetapi gadis berkelahiran kota metropolitan Kuala Lumpur yang berpindah ke kampung sejak berumur satu tahun ini tidak mudah tenggelam dalam arus glamornya itu. Setelah tamat kontrak bersama syarikat telekomunikasi, dia tidak menerima satupun tawaran yang diberikan kepadanya. Menjalankan hidup sebagai gadis kampung seperti dulu lebih memberi kepuasan kepada dirinya. Dia lebih suka menyertai aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dikampungnya. Lagipun dia masih lagi belajar di tingkatan lima pada ketika itu. Pelajaran lebih penting katanya. Dia juga dilantik sebagai Naib Setiausaha kehormat JKKK Kampung Paya Hilir di samping beberapa jawatan lain seperti Naib Ketua Puteri UMNO dan AJK penerangan Agensi Anti Dadah Kebangsaan. Walaupun menyedari dia masih lagi bersekolah, penduduk Kampung Paya Hilir yakin dengan kebolehan gadis itu memikul tanggungjawab berdasarkan sumbangannya di parlimen. Lagipun siapa tak kenal dirinya yang dah pernah bergelar duta. Pendapatan hasil dari dunia glamornya dulu digunakan untuk memperbaiki dan memperbesarkan rumah keluarganya yang dulu hanyalah berukuran 20 x 35 kaki sahaja. Kini terdirilah sebuah rumah yang lebih selesa berbading dulu. Tidak berapa besar tetapi cukup menampung sembilan anak beranak keluarga Pakcik Fahmi. Walaupun sudah agak dimudahkan hidup oleh anak-anak, Pakcik Fahmi masih lagi bekerja sedangkan dia sendiri sudah bergelar kotraktor setelah anak bongsunya melaburkan sebahagian dari wangnya bagi beliau memulakan perniagaan. Sebahagiannya lagi dilabur ke Amanah Saham Wanita atas nama ibunya, Makcik Fadhilah. Bukan tidak diberi nasihat oleh anak-anak, tapi Pakcik Fahmi tetap mahu bekerja. Badan masih sihat katanya. Kalau dah tak larat nanti berentilah. Apa susah. Januari 2009 genaplah 19 tahun umur Noor Aziah Md. Fahmi. Tak sampai setahun dia berada di UTM mengambil Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik Telekomunikasi dirinya ditawarkan melanjut pelajaran ke Universiti of Missouri selama 5 tahun di Amerika Syarikat dengan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Barisan Nasional yang memegang tampuk pemerintahan pada ketika ini dengan syarat dia sanggup mengambil jurusan sains politik kerana dia dikesan berpotensi dalam bidang itu. Maka terpaksalah Noor meninggalkan bidang yang diminatinya dan bertolak ke Amerika Syarikat kerana dia menganggap ini adalah penghargaan dari kerajaan kepada dirinya dan dari situ dia dapat rasakan yang dia akan memikul tanggungjawab dan amanah terhadap rakyat pada masa akan datang. Sudah seminggu pemergian Noor…Ini bermakna sudah tujuh kali Ferdi mengelamun setiap petang sambil menghadap rumah Noor dari beranda atas rumahnya. Memang sukar dipercayai jika orang yang disayang semakin jauh dari pandangan mata. Sebelum ni tak kisah sangat. UTM Skudai, bukan jauh mana pun berbanding Missouri di Amerika sana. Jika di UTM, cuti perayaan Noor balik kampung. Cuti semester pun boleh lagi berjumpa lepaskan rindu. Kalau dah teramat rindu, boleh lagi Ferdi naik bas ekspres ke Skudai. Apa yang boleh dilakukan sekarang hanya menghantar E-mail dan telefon sekali sekala. Kerap sangat pun tak boleh. Tahulah bil dia macamana. Bagi Ferdi tiada yang dapat mengubat rindu hatinya selain menatap wajah ayu dan senyuman manis milik gadis bernama Noor. Gadis yang pernah menjadi ikon remaja satu ketika dahulu dan masih ada yang meminatinya hingga kini dek kebijaksanaan dan kecantikan asli kurniaan yang maha esa. Umur bukan penghalang baginya untuk mendapatkan cinta Noor. Lapan tahun bukanlah jauh sangat berbanding umur pasangan Datuk K dan Datuk Siti Nurhaliza. Dalam usia 26 tahun masih belum terlambat bagi Ferdi. Dia sanggup menuggu walaupun sehingga umurnya hampir mencecah umur Datuk K. Ferdi mengenali Noor sejak Noor berumur 10 tahun lagi. Ketika itu Ferdi baru sahaja selesai menduduki peperiksaan SPM dan berpindah dari Perling,Johor Bharu ke Kampung Paya Hilir.Ferdi dikenalkan kepada Pakcik Fahmi iaitu abang kepada ibu Ferdi. Ferdi tak pernah bertemu dengan pakciknya itu semenjak Ferdi berumur 6 tahun kerana mereka tinggal berjauhan sehinggalah kehari dimana Ferdi sekeluarga berpindah ke Kampung Paya Hilir, Sungai Buloh. “Manisnya budak ni.” Hati Ferdi berbisik sejurus ternampak seorang budak perempuan comel sedang bermain getah bersama rakan-rakannya dihalaman sebuah rumah kecil yang dia belum tahu itu adalah rumah pakciknya. Budak perempuan itu tersengih memandang Ferdi. Lalu Ferdi mendekati budak itu. “Hai…main apa tu?” “Apasal tanya? Nak main sekali ke?”Jawab budak itu sambil memalingkan mukanya kembali kearah sebelumnya. “Tak, Abang Tanya je. Sebenarnya Abang cari rumah Pakcik Fahmi. Adik Tahu rumah dia kat mana?”Tanya Ferdi lagi. Muka budak itu berubah seperti dalam keadaan terkejut. Matanya membesar dan mulutnya agak ternganga sedikit. Lantas dia melepaskan getah yang ada di tangannya dan berlari kearah rumah berdekatan mereka bermain meninggalkan rakan-rakannya dalam keadaan kebingungan. “Abah.! Abah..! Abang Ferdi Datang….. Jerit budak itu sambil berlari ke pintu rumahnya. Ferdi terkejut mendengar budak itu menyebut namanya. Rupa-rupanya itulah adik penakannya. Mesti Ayah budak itu sudah memberitahu yang Ferdi akan datang petang ini. Seorang lelaki separuh umur dan beruban lebat muncul di pintu rumah. Budak tadi terus mendakap Ayahnya. “Ferdi ke?”Sambil menuding ibu jarinya ke arah Ferdi. “Ya Pakcik.”Ferdi yang tadinya berdiri di halaman bergegas ke pintu rumah mendapatkan Pakciknya. “Dah besar rupanya kamu. Maklumlah, dan 12 tahun tak jumpa.Mana Ayah kamu?” sambil menghulur tangan kearah Ferdi. “Ke rumah Ketua Kampung nak memaklumkan perpindahan kami ke sini. Kejap lagi sampailah.” Ferdi mencium tangan pakciknya. “Yang comel loteh ni siapa Pakcik?” Sambung Ferdi. “Inilah sepupu kamu yang paling bongsu. Noor Aziah namanya.Noor, salam abang Ferdi.”Lalu budak itu menghulurkan salam dan mencium tangan Ferdi. “Pandainya dia.” Puji Ferdi. “Meh la masuk ke rumah pakcik yang tak seberapa ni.” Pelawa Pakcik Fahmi. “Yah, Noor pergi dulu ya.”Noor meminta izin ayahnya untuk bermain semula. “Jangan main jauh-jauh. Kejap lagi makcik Yah sampai. Kata nak jumpa dia orang.” Pesan Ayahnya. “Hai… Noor ni kalau bermain nombor satu. Belajar bukan main malas. Sampai berbuih mulut Pakcik dan Makcik kamu ni.Nasib baik dia ni cerdik sikit. Alhamdulillah Kalau periksa tak pernah dapat tempat ketiga keatas. Kalau tak satu, dua. Dapat nombor dua pun baru sekali pasal tak datang masa periksa baru-baru ni gara-gara demam. Sampai Pakcik pun dapat pujian cikgu kelas dia. Kalau cikgu dia tahulah perangai Noor kat rumah macamana, mesti dia tarik balik pujian dia pada Pakcik.”celoteh Pakcik Fahmi tentang anak bongsunya itu. Sejak itu Ferdi mula tertarik dengan kepintaran sepupunya itu berdasarkan apa yang diceritakan oleh Pakciknya. Perasaan Ingin tahu Ferdi terhadap insan-insan yang dikurniakan akal yang pintar bukannya baru. Semasa di Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur Ferdi suka berkawan dan bergaul dengan pelajar-pelajar pintar walaupun pelajar yang lebih muda daripadanya. Ferdi ingin menjadi seperti mereka. Walaupun akal tidak setanding dengan mereka yang pintar, sekurang-kurangnya dapat memanfaatkan persahabatan dalam hal-hal berkaitan pelajaran dan ilmu pengetahuan serta dapat mempelajari cara mereka menyelesaikan masalah. Biasanya orang seperti ini menyelesaikan masalah dengan berfikir secara sistematik, efektif, dan dinamik. Itulah kelebihannya jika bijak memilih kawan. Bukan tak boleh berkawan dengan semua orang. Berkawanlah dengan sesiapa sahaja yang kita suka. Tetapi jangan lupa, bersiap sedia dengan “anti-body” yang sesuai bagi menghalang jangkitan tabiat atau perangai buruk mereka. Jangkitkanlah kebaikan yang ada pada kita kepada kawan kita dan benarkan virus-virus kebaikan yang ada pada mereka supaya menjangkiti kita. “Mana yang lain Pakcik?Makcik….Anak-anak Pakcik yang lain. ” Tanya Ferdi sambil memandang ke kiri dan kanan takut-takut ada lagi orang di rumah itu yang perlu disalamnya. “Ooo…Makcik kamu ke rumah Abang Suhaidi kamu di sebelah surau sana. Malam ni ada kenduri cukur jambul di rumah sepupu kamu tu. Ha… kebetulan kau orang pindah hari ni, terus dapat makan free.” Seloroh Pakcik Fahmi dan bahu Ferdi menjadi mangsa tepukan manja tangan Pakcik Fahmi. “Insyaallah kami datang sekeluarga….Hmm… Maknanya anak-anak Pakcik yang lain semuanya di rumah Abang Suhaidilah ni?”Ferdi meneka. “Dari Pagi tadi….Pakcik balik ni pun nak jemput anak Pakcik yang seorang lagi tu dari kelas tambahan di rumah cikgunya di kampung sebelah. Husin namanya.”Jelas Pakcik Fahmi sambil mendapatkan kunci motosikal yang berada diatas meja. “Kamu duduklah kejap sementara Pakcik keluar ya. Buatlah macam rumah sendiri.”Sambung Pakcik Fahmi seraya bingkas dari kerusi. “Baiklah Pakcik.”Ferdi menjawab dengan senyuman. Pakcik Fahmi bergegas keluar dan menuju ke arah anak bongsunya yang sedang asyik bermain sambil berkata sesuatu.Barulah dia mendapatkan motosikal “EX5 Class”nya di tepi rumah dan meluru ke jalan raya. Ferdi bingkas dari tempat duduknya dan meninjau ke segenap ruang tamu. Di satu sudut terdapat gambar keluarga dan dikelilingi gambar-gambar individu. Ada sembilan bingkai semuanya. “Pasti ini gambar si Noor.” Bisik hati ferdi sambil membongkokkan badan melihat sekeping gambar seorang budak sedang menjulang piala berlatarbelakangkan pentas yang biasa dilihatnya. “Macam pernah aku lihat tempat ini…Tapi dimana ya?” “Big Quiz for little kid..TV5.”Satu suara halus memecah kesunyian. Mendengar suara halus itu baru Ferdi teringat satu rancangan kuiz pengetahuan am untuk kanak-kanak berusia hingga 12 tahun terbitan sebuah stesen TV yang mana dua tahun lepas peserta termuda berusia lapan tahun menjadi juara di peringkat akhir mengalahkan dua lagi peserta yang berumur 11 dan 12 tahun.. “Oh my god…! It was you….” Ferdi berpaling kerana dia tahu siapa empunya suara itu. Ferdi seakan tak percaya pemenang rancangan kuiz itu adalah adik sepupunya sendiri. Dia pernah berharap untuk mendapatkan adik yang bijak dan pandai seperti pemenang kuiz itu. Kini dia tak perlu impikannya lagi kerana sibijak pandai itu adalah adik sepupu sendiri! “La..Ingatkan siapa. Noor rupanya.” Ferdi meluahkan rasa terkejutnya. “Ayah suruh Noor buat air untuk abang. Noor datang ni nak tanya Abang nak minum apa?”Noor fikir Ferdi terkejut mendengar suaranya dibelakang Ferdi. Padahal Ferdi tidak menyangka Noor juara muda rancangan kuiz kanak-kanak paling popular di kaca TV. Ferdi ketawa kecil sambil memandang kearah lain kerana geli hati. Betul ke Noor ni pandai bancuh air? Umur sepuluh tahun ni….Jerang air pun belum tentu pandai. Pakcik Fahmi ni buat hal betul. Budak darjah 4 dia suruh bancuh air untuk tetamu. Macam ala kadar je sambut aku.Ah! Order je lah. “Dik…Bagi abang Fresh orange kurang manis satu. Makan…..Nasi goreng pattaya ye…” Ferdi berlagak seperti orang memesan makanan di restoran Tom yam seafood. “Ada apa-apa lagi Bang?”Noor pula berlagak seperti pelayan restoran. “Tu saja…” Balas Ferdi. “Ok…” Noor membalas dengan senyuman dan berlalu meninggalkan Ferdi menuju ke dapur. “Eh tunggu!Tunggu! Acah je…Bagi abang Air sirap dah la.” Ferdi mengakhiri lakonannya. Namun Noor tidak menoleh kebelakang.Dia meneruskan langkah ke dapur seperti orang merajuk. “Aduh….merajuk pulak dah. Menyesal aku main-mainkan dia tadi.kemana dia nak pergi tu? Keluar ikut pintu dapur ke?” Ferdi kembali duduk di kusyen dan memikirkan apa yang harus dilakukan. Biasanya budak-budak dipujuk saja sudah cukup. Belikan gula-gula atau makanan ringan sebagai penebus kesalahan, habis cerita. Tetapi macamana kalau lepas ni dia tak suka pada Ferdi? Alamak! Itulah yang Ferdi risaukan sebenarnya. Sedang Ferdi berada dalam kerisauan itu,tiba-tiba dia terdengar bunyi orang sedang mengisar sesuatu menggunakan blender didapur. Ada orang lagi selain Noor di rumah rupanya ketika ini. Makcik Fadhilah agaknya. Eh! Tak mungkin. Pakcik Fahmi sendiri beritahu Ferdi yang isterinya berada di rumah Anaknya yang bernama Suhaidi. Mungkin Makcik Fadhilah balik ikut pintu belakang. Ataupun jiran sebelah pinjam bleder tak minta izin. Di kampung kan jiran ni macam keluarga sendiri. Susah senang di kongsi bersama. Tak macam dibandar, susah tanggung sendiri, senang dikongsi bersama. Tak semua lah…. Segelintir saja.Tapi kalau ya pun pinjam barang, bersuaralah sikit barulah pakai barang tu. Dapat kebenaran atau tidak, lepas pakai baru cerita. “Daripada aku fikir yang bukan-bukan, elok aku tengok TV. Teater Bintang Lagenda pun dah mula.” Ferdi mencapai alat kawalan jauh dan membuka siaran TV. Musang Berjanggut lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Ferdi dan keluarganya adalah peminat nombor satu beliau. Boleh dikatakan setiap petang hujung minggu Ferdi dan kedua ibu bapanya akan tercongok didepan TV lima belas minit sebelum rancangan itu bermula. Rasanya bukan mereka sekeluarga saja yang kemaruk dengan filem lakonan Beliau. Allahyarham milik rakyat negara ini. Setiap lakonannya memberi kesan kepada sesiapa yang menonton.Hampir semua watak pernah dimainkan bermula dari bangsawan, bujang terlajak, penarik beca,tukang masak dan banyak lagi. Gelaran penghibur sepanjang zaman memang pantas diberikan kepada dirinya yang tiada pengganti itu. Bercakap tentang tukang masak, terdengar pula bunyi kuali lima minit selepas bunyi blender. Ferdi semakin ingin tahu siapa sebenarnya yang berada didapur ketika ini. “Kali ini puas hati aku.” Ferdi bingkas dari kusyen dan menuju ke dapur meninggalkan rancangan yang paling diminatinya itu buat seketika. Sebelum Ferdi sempat tiba di pintu dapur, Alangkah terkejutnya Ferdi melihat Noor membawa fresh orange yang dipesannya sebentar tadi. Noor tersenyum lebar melihat Ferdi yang dalam keadaan bingung. “Tandas kat belakang. Jalan terus sebelah kiri. Yang kanan tu tandas tukang masak. Tak boleh masuk. Nasi goreng kejap lagi saya hantar ya bang.” Betapa malunya Ferdi mendengar kata-kata usikan dari Noor. Noor terus berjalan membawa minuman yang dipesan oleh Ferdi ke meja di depan TV dan menuju ke dapur semula. Ferdi hanya memandang gelagat Noor. Baru darjah empat dah pandai kenakan orang. Nasib baik comel.Tak jadi Ferdi nak marah. Apapun dia mesti rasa fresh orange yang dipesannya itu. Fresh orange kurang manis. Itulah minumannya yang selalu dipesan di gerai makan. Ferdi pun menghirup sedikit fresh orange itu. Memang sama seperti yang dipesannya di kedai makan. Kurang Manis pulak tu. Pertama kali Ferdi minum fresh orange buatan manusia yang baru berumur 10 tahun dan antara yang tepat dengan selera lidahnya. Bagaikan tak percaya tetapi itulah hakikatnya. Ferdi mula yakin dengan kebolehan sepupunya itu. Kejutan bukan setakat itu sahaja apabila Noor kembali ke ruang tamu membawa menu selanjutnya untuk Ferdi iaitu Nasi goreng Pattaya. Hampir juga sama lazatnya seperti makan di luar. “Dari mana Noor belajar masak ni. Sedaplah..” Ferdi bertanya sambil mengunyah nasi yang penuh di dalam mulutnya. “Tak dari siapa-siapa…Tengok Pak Tam masak kat warung dia.” Jawab Noor yang berada di depannya. “Pak Tam tak ajar Noor ke?” “Tak. Noor selalu main dengan anak dia kat sana. Noor tengoklah cara dia masak. Lagipun mak selalu goreng nasi kat dapur. Noor tolonglah..”Noor menjawab. “Apa lagi Noor boleh masak?” Tanya Ferdi lagi. “Masak air dan mi dalam cawan.” Noor tergelak. “Habis tu kalau Abang pesan makanan lain tadi macamana?” Ferdi terhenti mengunyah. “Noor cakap tak jual lah…..” Kali ini mereka sama-sama tergelak dan kelihatannya Noor sudah membiasakan diri dengan Ferdi. Ferdi pula kelihatan seronok bersama sepupunya itu. Semenjak hari itu Ferdi semakin rapat dengan Noor.Bukan sebagai pasangan kekasih, tetapi sebagai adik dan abang. Pakcik Fahmi dan Makcik Fadhilah pun tak kisah kerana umur Ferdi dan Noor jauh berbeza dan mereka anggap kasih sayang yang Ferdi tunjukkan itu adalah kasih sayang seorang abang kepada seorang adik. Boleh dikatakan setiap malam Ferdi bertandang ke rumah Noor dengan niat membantu Noor menyiapkan kerja rumah dan mengulangkaji pelajaran. Sebelum ini jarang-jarang Noor belajar malam. Kalau ada kerja rumah baru dia buat. Lepas tu pergi depan TV. Setelah Ferdi memberi nasihat kepada Noor tentang pentingnya mengulangkaji pelajaran, Barulah Noor mengisi malamnya dengan mentelaah buku sekolah. Itupun kalau ada Ferdi. Kalau tiada, Noor akan pergi menonton TV. Pakcik Fahmi pernah memberitahu Ferdi supaya memberi nasihat yang berguna kepada anak –anaknya terutama Noor. Tak semestinya orang pintar boleh bermalas-malas atas sebab kebolehannya. Malah sepatutnya mereka perlu bekerja keras untuk menyaingi kebolehan orang yang tidak dapat diduga kepintarannya. Perlu diingat kepada orang yang merasa dirinya pintar dan hebat bahawasanya di atas bumi masih ada langit. Lagipun Pakcik Fahmi risau Noor akan terbawa-bawa perangai malasnya sampai ke tua. Sesetengah ibu bapa tak kisah mempunyai anak cerdik yang malas. Mereka tak sedar yang mereka sedang menuai benih yang rosak dalam diri anak mereka.Kehadiran Ferdi membawa sinar harapan kepada Pakcik Fahmi untuk mengubah sikap anak bongsunya itu. Tak tahulah mengapa setelah kedatangan Ferdi baru Noor mahu belajar. Sebelum ni bukan tak pernah diberi nasihat. Ketiga-tiga abang kandungnya sampai berbuih mulut. Belum campur buih mulut makcik Fadhilah lagi. Entah berapa banyak buih mulut keluarga Pakcik Fahmi yang dibazirkan untuk mengubah Noor. Tapi sekarang, tak sempat mulut Ferdi berbuih, Noor menunjukkan perubahan. Adakah ini petanda Noor sudah pandai bermain dengan perasaan? Sudah bermulakah cinta monyet yang pertama dalam hidupnya? Ya. Sebelum ini Noor belum pernah dilayan begini istimewa oleh orang selain keluarganya. Ferdilah orang pertama yang begitu mengambil berat dan menyayangi dirinya. Memang berbeza kasih sayang dari orang luar jika dibandingkan keluarga sendiri. Ianya boleh membawa kita ke satu dimensi yang indah apabila kita mengingati insan itu. Dunia bagaikan milik berdua. Di akhirat tetap ingin bersama. Setiap ruang kosong dihati dipenuhi namanya. Setiap lamunan diganggu senyumannya. Segala yang jelek tak terfikir tentangnya. Semuanya baik-baik belaka. Begitulah maha ampuhnya cinta. Tak mengenal sempadan usia. Tak mengenal musuh dan saudara. Noor berubah kerana dia ada perasaan pada Ferdi. Sedangkan Ferdi hanya menganggapnya sebagai adik kandungnya sendiri. Ferdi sedar potensi yang dimiliki oleh Noor. Dia ingin menggilap potensi semulajadi itu dari awal dengan harapan ianya boleh diterjemahkan dalam bentuk sumbangan kepada dirinya sendiri, keluarga, masyarakat dan negara bahkan untuk dunia. Ferdi sedang mencari apakah kebolehan Noor sebenarnya. Cerdik dan pintar sahaja tidak memadai sekiranya tiada kebolehan semulajadi yang menjadi landasan bagi mengetengahkan kepintaran dan kecerdikan seseorang. Pernah Ferdi bertanya kepada Noor tentang cita-cita. Noor ingin jadi jurutera. Ferdi menjelaskan pada Noor yang Noor boleh jadi lebih hebat dari itu. Peguam? Lebih hebat lagi… Doktor? Lebih lagi…Pensyarah? Lebih lagi…Fikirkanlah sesuatu yang lebih hebat dari itu. Apabila ditanya oleh Noor apakah bidang kerja yang dimaksudkan, Ferdi sendiri pun tiada jawapan. Tetapi yang pasti ianya lebih hebat dan menjadi kebanggaan kepada keluarga dan masyarakat. Begitulah tingginya harapan Ferdi kepada adik sepupunya itu. Dia tidak mahu orang memandang Noor sebagai insan biasa dikemudian hari. Setiap orang berhak menjadi insan luar biasa. Tetapi mereka yang memiliki pemikiran luar biasa, wajib menjadi insan luar biasa. Mereka wajib berbakti. Wajib berkorban dan bersedia menghambakan diri kepada masalah duniawi dan ukhrawi. Tuhan mengurniakan kebijaksanaan kepada mereka lebih dari insan lain. Mereka fikir untuk apa kurniaan itu? Untuk kesenangan individu? Untuk menjatuhkan orang lain? Atau untuk menjadi perhiasan diri agar disanjung atau dikagumi dunia? Mungkin juga sebagai barangan antik yang terperap dalam kepala mereka dan akhirnya hilang dimamah cacing tanah bersama jasad di liang lahad. Sedangkan pemberian manusia yang tidak dihargai kepada manusia lain boleh menimbulkan rasa marah dan benci . Inikan pula pemberian Sang Pencipta kepada hambanya. Apalagi jika pemberian itu melebihi dari insan yang lain. Begitulah sebahagian dari nasihat dan pesanan Ferdi kepada Noor sepanjang tiga tahun perkenalan mereka. Banyak perubahan berlaku pada Noor sehingga dia berumur 12 tahun. Kini dia seorang murid pintar yang rajin dan kurang bermain.Pencapaian ko kurikulum dan akademik di sekolah amat memberangsangkan. Menjadi ketua kelas selama tiga tahun berturut-turut dan ketua murid atas tawarannya sendiri. Mendapat Anugerah pelajar cemerlang sekolahnya tiga tahun berturut-turut. Pelajar terbaik UPSR peringkat kebangsaan. Johan Pidato Kebangsaan bawah 12 tahun. Mewakili negeri dalam pasukan debat sekolah. Apa yang paling mengharukan ialah Noor Aziah binti Fahmi telah dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Sepanjang Zaman.Penghargaan tertinggi yang pertama dan terakhir dikurniakan kepada seorang murid di Sekolah Kebangsaan Sungai Pelong berdasarkan pencapaiannya dalam semua bidang yang dipersetujui oleh pihak sekolah sebagai sesuatu yang luar biasa. Antara petikan ucapan Guru Besar semasa penyampaian anugerah itu di majlis perpisahan sekolah tahun 2002, “Diharapkan selepas ini lebih ramai murid-murid dari sekolah kita yang dapat mengharumkan nama sekolah. Jadikanlah Noor Aziah sebagai lilin yang membakar semangat kamu semua. Kamu boleh menjadi seperti Noor Aziah tetapi tidak boleh menjadi persis seperti Dia. Noor Aziah tetap Noor Aziah….” Begitu sekali penghargaan sekolah terhadapnya. Nama Noor Aziah akan terpahat di lembaran sejarah kegemilangan sekolahnya. Ferdi yang duduk di penjuru dewan tersenyum bangga mendengar kata-kata Guru Besar sekolah Noor. “Ianya baru saja bermula. Mulai saat ini aku yakin satu hari nanti, Perdana Menteri pun akan mengungkapkan kata-kata seperti itu.” Bisik hati Ferdi sambil merenung Noor yang berada kerusi hadapan.Seperti mendengar bisikan hati Ferdi, Noor berpaling ke belakang dan memandang ke arah Ferdi dengan penuh kasih saying. walhal dia tak pernah mengungkapkan kata cinta kepada abang sepupunya itu yang hingga kini tidak sedar dirinya dicintai dibelakang tabir. “Noor tak nak tinggalkan Abang.” “Apa Noor cakap ni? Noor bukan tinggalkan Abang. Noor Cuma jauh sikit dari Abang. Noor kan nak pergi belajar. Abang pun tak kemana-mana. Kat sini je.” “Tapi Abang takde bersama Noor. Noor nak Abang dekat dengan Noor. Kalau Abang takde, siapa nak bagi Noor semangat? Apa yang Noor dapat dulu semuanya kerana dorongan Abang.” Berat hati Noor untuk meninggalkan Ferdi. Tawaran bersekolah di sekolah berasrama penuh boleh dikatakan terpaksa diterimanya setelah Noor memandang wajah ibubapanya yang penuh dengan harapan. Bagaimana dia mampu meninggalkan abang sepupunya itu setelah tiga tahun bersama. Bukan setakat bersama, malah segala kejayaan yang dicapainya dahulu bertitik tolak dari nasihat pertama Ferdi tak berapa lama selepas mereka bertemu pertama kali. Bermula dari perasaan hormat bertukar menjadi perasaan sayang dan akhirnya Noor berubah demi insan yang bernama Ferdi. Dalam erti kata lain, Noor melakukannya untuk mendapatkan hati Ferdi. Sebab itulah dia menurut semua nasihat yang Ferdi berikan kepadanya. Suasana malam itu muram antara Noor dan Ferdi. Nyanyian cengkerik disekeliling halaman rumah Pakcik Fahmi tidak dapat menceriakan suasana itu. Semua penghuni rumah sudah berada di dalam kerana jam sudah menunjukkan pukul 10.45 malam. Hanya tinggal mereka berdua duduk di beranda rumah yang dipenuhi dengan pokok bunga disekelilingnya. Masing-masing merenung jauh ke arah yang berlainan. Mereka hanya ada sedikit masa sahaja sebelum seorang daripada mereka pergi meninggalkan kampung ini pada keesokan paginya. Walaupun Ferdi gembira atas tawaran yang diterima oleh adik sepupunya itu, dia tidak boleh lari dari perasaan sedih dan sayu membiarkan adik kesayangannya itu berjauhan daripadanya. Namun begitu, dia redha dan ikhlas menerima hakikat yang dia akan merindui kenangan lalu yang ditempuhinya bersama Noor. Lagipun ianya untuk kebaikan masa depan Noor. Insan cerdik seperti Noor memang pantas mendapat yang terbaik. Cita-citanya melihat Noor menjadi insan luar biasa mesti ditunaikan. Noor pula terperangkap antara dua kemahuan hatinya. Mengejar cita-cita dan tak mahu berpisah dengan Ferdi yang disayanginya. Kalau boleh dia mahu kedua-duanya sekali. Tapi hakikatnya, satu darinya terpaksa dikorbankan. Kalau dikorbankan cita-citanya, maka hancurlah harapan keluarga dan masyarakat setempat untuk melihat anak kampung Paya Hilir pertama bersekolah di sekolah berasrama penuh. Banyak hati yang akan kecewa terutama hati ibubapanya. Kalau dia memilih untuk berpisah dengan Ferdi bagi mengejar cita-cita, hanya satu hati sahaja yang akan kecewa.Iaitu hatinya sendiri. Sanggupkah dia mengecewakan hatinya sendiri demi menjaga hati dan perasaan ibubapanya serta beratus-ratus hati lagi dikampung itu? Kenapa situasi begini terjadi dalam hidupnya. Bagi kebanyakan orang, konflik ini taklah serumit mana.Seumpama mereka tahu masalah ini, mereka pasti menasihatkan Noor supaya berangkat ke asrama dan melupakan seketika tentang Ferdi demi mengejar cita-citanya. Usia semuda Noor tak layak untuk bercinta. Fikirkanlah masa depan dan harapan mereka yang benar-benar berharap. Tentang jodoh tak akan menjadi masalah kepada Noor jika dilihat dari paras rupanya. Walaupun masih berumur 13 tahun, wajah dewasa Noor sudah boleh dibaca keayuannya. Ditambah lagi kepintaran ala Einstein semakin membuat ibubapa sang teruna tak senang duduk. Cakap memang senang. Masalah orang lain hanya boleh dikongsi melalui kata-kata dan Tidak boleh dialami bersama. Perasaan individu tak boleh ditiru. Ianya hanya boleh dirasai oleh individu itu sendiri. Hanya Noor sahaja tahu betapa Ferdi begitu beerti dalam hidupnya. Hanya Noor sahaja yang tahu betapa siksanya hidup tanpa Ferdi walau sehari. Betapa sunyinya hati tak mendengar suara Ferdi walau sesaat. Kita tak tahu semua itu. Apa yang boleh dilakukan hanyalah memberi nasihat dan semangat kepadanya, bukan memaksa atau mengata andai Noor membatalkan hasratnya untuk menyambung pelajaran ke sekolah berasrama penuh. “Noor kena pergi jugak…”Ferdi bersuara memecah kesunyian. “Noor tahu Noor kena pergi. Tapi… Noor tak boleh tinggalkan Abang….” Suara Noor terketar-ketar menahan sebak. “Cuba bagitau Abang kenapa Noor tak boleh tinggalkan Abang?” Ferdi mula memandang ke arah Noor yang sedang duduk di sofa ‘2 seater’ bersebelahannya. “Noor sayangkan Abang. Abanglah tempat Noor bermanja. Tempat Noor mengadu, dan tempat Noor mendapat banyak ilmu serta nasihat. Lepas ni tak dapat Noor dengar Abang nyanyi lagu ‘Heart’. Nak cubit pipi pun dah tak boleh.” Noor masih lagi tak menoleh ke arah Ferdi. “Noor…”Ferdi bangun dari kerusi yang didudukinya dan melabuhkan punggungnya ke sofa yang diduduki Noor sambil memegang lembut bahu adik sepupunya itu. “Abang pun sayangkan Noor…. Abang dah anggap Noor adik kandung Abang sendiri. Abang kan dah tak ada adik. Noor lah pengubat kerinduan Abang pada arwah adik abang… Muka Noor manis… macam dia. Lagipun Noor ni budak pandai. Abang teringin adik macam Noor dan alhamdulillah, keinginan Abang ditunaikan oleh Allah walaupun Noor bukan adik kandung sendiri.” Tersentak Noor mendengar kata-kata Ferdi. Baru kali ini dia memandang Ferdi dengan kening yang berkerut. Baru Noor tahu apa perasaan Ferdi pada dia selama ini. Mereka tak pernah meluahkan perasaan masing-masing. Dalam usia Noor yang masih dikategorikan sebagai kanak-kanak, memang tak hairanlah jika Noor malu nak meluahkan isi hatinya menerusi kata-kata. Noor hanya mampu menunjukkan melalui reaksi dan perbuatan sahaja. Lagipun orang yang dicintainya itu lapan tahun lebih dewasa daripadanya. Manakala Ferdi pula tidak mengesyaki ada timbulnya rasa cinta dari Noor memandangkan Noor hanyalah seorang kanak-kanak dan dia menganggap kemesraan Noor selama ini adalah kemesraan seorang adik kepada abangnya. Beberapa saat selepas Noor merenung wajah Ferdi, dia menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan agak kuat. Tapi Noor tidak berkata walau sepatahpun. Mungkin sedang menyusun ayat untuk besuara. Ferdi yang sedar dengan perubahan wajah adik sepupunya itu lantas bertanya, “Kenapa pandang macamtu? Abang salah cakap ke?” Kali ini Noor ingin membuktikan yang dia sudah dewasa dan layak untuk dicintai. Dengan wajah yakin dia bersuara, “Ya… Ada yang salah pada tanggapan Abang tentang Noor. Memang Noor masih budak-budak yang memerlukan kasih sayang keluarga. Tapi Noor sudah berhak menyayangi Abang Ferdi lebih dari seorang abang. Jangan tanya berapa umur Noor sekarang. Tanyalah berapa dalam kasih sayang yang Noor selami untuk sampai ke jurang usia kita. Sekarang Noor sudah sampai ke jurang itu dan akan menimbusnya hingga tak kelihatan ada perbezaan usia antara kita berdua.” Malam ini kata-kata Noor membuktikan Noor sudah matang dalam soal hati. Tiada rahsia seperti sebelum ini. Jika sebelum ini Ferdi mengakui kepintaran Noor dalam pelajaran, malam ini dia pasti mengakui kematangan Noor dalam soal cinta. Kata-kata Noor tadi tak sepadan dengan usianya. Mengagumkan. Ferdi terdiam seribu bahasa. Apa semua ini? Seorang adik sepupu yang dianggap sebagai adik kandung meluahkan isi hatinya pada usia 13 tahun! Ini satu kejutan buat Ferdi. Dia tak pernah terfikir yang Noor menyintainya. Dia juga tak pernah terfikir untuk menyintai adik sepupunya itu. Kasih sayangnya terbatas oleh usia. Dalam wajah kekalutan Ferdi menjauhkan sedikit jaraknya dari Noor dan memalingkan badannya ke arah adik sepupunya itu seraya berkata, “Noor sedar apa yang Noor cakap ni?” “Cukup sedar Bang…Noor dah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan jawapan Abang. Lagipun sekarang masa yang sesuai bagi abang mengetahuinya sebelum Noor jauh dari Abang.” Kali ini Noor kelihatan pasrah untuk pergi meninggalkan Ferdi. Nampaknya hati Ferdi sudah mula terbuka untuk Noor menjelajah lebih jauh lagi ke dalam hatinya. Kematangan yang ditunjukkan Noor jelas adalah kunci yang telah berjaya membuka pintu hati Ferdi. Bagi Ferdi, Noor sudah dewasa pada malam ini. Dewasa dari segi pemikiran. “Baiklah… Tapi Noor kena janji satu perkara dengan abang…” Ferdi tersenyum simpul sambil memegang bahu Noor dengan kedua belah tangannya. “Apa dia?” Noor teruja mendengar persetujuan bersyarat dari Ferdi. “Selama Noor di belajar di sana, Noor tak boleh bercinta dengan orang lain. Belajar rajin-rajin dan ingat Abang selalu ok?!” Usik Ferdi sambil menggoyang-goyangkan bahu Noor. Sambil memegang kedua-dua tangan Ferdi yang masih memegang bahunya, Noor membalas usikan Ferdi, “Abang pun sama jugak. Ingat Noor selalu dan jangan main makwe kat sini!”Mereka sama-sama tertawa gembira dan memandang antara satu sama lain. Ferdi memandang Noor dengan perasaan yang tak pernah dirasainya sebelum ini. Perasaan yang aneh tapi indah. Anehnya, dia mempunyai buah hati yang berusia 13 tahun. Indahnya pula ialah, ianya baru sahaja bermula. Bagi Noor pemergiannya esok hari tidak lagi menimbulkan dilema dalam dirinya kerana hasrat menjadikan Abang Sepupunya sebagai kekasih hati sudah kesampaian. Malah drama malam ini adalah pembakar semangat untuknya menjadi seorang manusia yang disifatkan oleh kekasihnya sebagai luar biasa suatu hari nanti. Jika dilihat dari jauh, kedua-dua insan yang sedang bergurau senda itu tak ubah seperti adik beradik. Tidak ada apa yang harus dicurigai. Sebelum mereka berpisah pada malam itu, Noor sempat meminta Ferdi menyanyikan lagu kegemaran Noor dalam keadaan yang sungguh romantik sekali. Nyanyian Ferdi yang lembut dan perlahan sungguh mengasyikkan Noor. Bila kita mencintai yang lain… Mungkinkah hati ini akan tegar… Sebisa mungkin… Tak akan pernah… Sayang ku akan hilang… If you love somebody could we be this strong… I’ll fight to win our love, will conquere all… Would’n risk my love… Even just one night… Our love will stay in my heart… Lagu OST sebuah filem ini menjadi siulan remaja pada masa sekarang. Perpisahan malam ini berbeza dengan perpisahan pada malam-malam sebelumnya. Jika sebelum ini Noor hanya mencium tangan Ferdi sebagai tanda hormat kepada abangnya itu, tetapi malam ini ditambah satu ciuman di dahi Noor oleh Ferdi sebagai tanda kasih dan sayangnya. “Noor… bangun nak… dah sampai dah ni.” Makcik Fadhilah menggoncang lembut bahu anaknya yang terlena sepanjang perjalanan. Perjalanan yang memakan masa hampir tiga jam memang meletihkan walaupun duduk dikerusi belakang Toyota Unser kepunyaan Shuhaidi, abang Noor. Jam menunjukkan hampir pukul 9.30 pagi. Lebih kurang tiga jam perjalanan ke Ayer Keroh, melaka. Mereka sekeluarga bertolak selepas menunaikan sembahyang Subuh berjamaah di surau Al-Hidayah berdekatan rumah mereka. “Pakcik ingat kita kena berlegar-legar lagi kat Ayer Keroh ni. Rupanya kau tahu sekolah ni. Memang tak salahlah Abang Shuhaidi kau suruh kau pandu. Kalau dia yang pandu, pukul berapa agaknya kita sampai.” Pakcik Fahmi yang duduk di kerusi depan berseloroh memecah kesunyian. “Dia tak ikut ni pun pasal dia kena meniaga hari ni. Tahulah pelanggan dia tu… manalah nak bagi ‘chance’ dia cuti. Bukan cuti saja… servis lambat sikit pun kena ‘complain’.” Sampuk Makcik Fadhilah. “Lumayan jugak ya hantar sayur ke pasar borong… Saya pernah tolong abang sekali hari Ahad lepas. Hui, banyak jugak rezeki dia sehari-hari.” Sambung Ferdi bercerita tentang perniagaan abang sepupunya yang bertambah maju. “ha… Yang kau pandu sekarang nilah hasilnya. Baguslah dia ada kemahuan nak cari duit banyak. Anak dah lima. Tiga empat bulan lagi, keluar yang baru… Enam semuanya. Kalau dia masih malas macam belum kahwin dulu, tak tahu Makcik nak cakap apa.” Ujar Makcik Fadhilah sambil memeluk Noor yang sudah terjaga tapi matanya masih terpejam. “Cakap pasal kahwin ni, kau macamana? Dah ada buah hati ke belum?” Tiba-tiba Pakcik Fahmi menukar topik perbualan. “Kahwin cepat lagi bagus. Kata orang,terhindar sedikit dari maksiat. Shuhaidi pun kawin muda juga dulu. Umur….22 tahun tak silap.” Sambung Makcik Fadhilah. Mendengar pertanyaan Pakciknya itu, darah Ferdi menyirap. Fikirannya terus mengarah ke Noor tetapi tak sampai pecah di mulut. “Tak de lagi la Pakcik… Makcik, Nak kumpul duit dulu dalam sepuluh tahun dari sekarang, baru kahwin.” “Hm! Sepuluh tahun lagi kau dah tak laku. Mertua mana pun tak nak.”Pakcik Fahmi berjenaka lagi sambil ketawa terbahak-bahak. “Alamak, bahaya ni. Pakcik Fahmi sendiri cakap yang aku tak laku sepuluh tahun lagi. Kalau betullah… susah aku nak meminang anak dia nanti.” Bisik hati Ferdi yang geli hati bercampur risau mendengar usikan Pakciknya itu. Noor yang dari tadi masih memejamkan mata sebenarnya pura-pura tidur dan mendengar perbualan mereka sehingga semua orang tak sedar yang Noor tersenyum dalam ‘tidur’nya. “Ha… Sampai pun… Sekolah Menengah Sains Tengku Jalil shah, Ayer Keroh, Melaka….” Ferdi Membaca papan tanda di pagar sebuah sekolah. Mendengar nama sekolah yang bakal menjadi tempat tinggalnya kelak, Noor terus mengakhiri lakonannya sebagai seorang puteri yang sedang beradu di dalam istana dan memandang keluar tingkap bagi melihat sekolah barunya buat pertama kali. Kereta yang dipandu Ferdi meluncur masuk ke kawasan sekolah yang sudah padat dengan kenderaan. Maklumlah… Hari pertama melapor diri. Ferdi meletakkan kenderaan tidak jauh dari Astaka yang belum disinggah orang. Semua barang-barang keperluan Noor diletakkan di atas meja di bawah astaka itu. Pakcik Fahmi meminta Ferdi menemankan Noor mencari kaunter pendaftaran pelajar baru. Mereka berdua mula berjalan di beranda berdekatan dengan astaka dimana mereka berteduh dan menuju ke bangunan utama. Sambil berjalan Noor memandang ke kiri dan kanannya. Macam-macam ragam pelajar baru. Ada yang membawa barang melebihi keperluan, ada yang datang dengan rombongan yang besar, bahkan ada yang sudah menitiskan air mata. Mungkin pertama kali berpisah dengan keluarga agaknya. Samalah kita…. Pertama kali jauh dari orang tua. Dalam pada mereka berjalan, tak kurang juga ramainya yang memandang Noor dan Ferdi. “Mak! Mak! Itu Noor Aziah Fahmi kan? Mintak-mintak saya satu bilik dengan dia.” Noor terdengar seorang daripada pelajar perempuan berbisik kepada Ibunya. Noor tersenyum sendiri mendengar kata-kata pelajar itu. Siapalah yang tak ingat dengan pelajar terbaik UPSR peringkat kebangsaan tahun lepas. Gambar Noor yang comel sudah beberapa kali masuk surat khabar dan TV. Malah berita tentang tawaran Noor ke sekolah ini pun dimuatkan dalam akhbar dua minggu lepas. Kebetulan ada beberapa orang wartawan yang ditugaskan untuk membuat liputan hari pertama persekolahan di sekolah itu yang ternampak kelibat Noor. Mereka pun tidak mensia-siakan peluang mengambil beberapa keping gambar Noor. Ferdi pun turut ‘interframe’ sekali. Noor bagaikan sedang berjalan di landasan fesyen yang sedang memperagakan pakaian sekolah fesyen baru dengan diiringi perekanya iaitu ‘Bernard’ Ferdi. Beranda yang dilalui Noor dan Ferdi membawa mereka ke dewan utama sekolah itu. Wah… Ramai lagi yang belum mendaftar rupanya walaupun dah hampir pukul 10.00 pagi. Kena beratur pulak tu. Nasib baik barisan yang diambil oleh Noor dan Ferdi tidak begitu panjang. Lebih kurang enam atau tujuh pelajar di hadapannya yang ditemani penjaga mereka. Pada ketika itulah perutnya terasa sesuatu. “Sempat ke aku ke tandas ni?” bisik hati Ferdi. Dahinya berkerut menahan sakit perut. Mungkin sempat. Lalu Ferdi memberitahu hajatnya itu kepada Noor. Noor mengangguk dan Ferdi pun berlalu mencari tandas yang dia belum tahu dimana letaknya. Ferdi sempat bertanya kepada seorang pelajar yang kelihatan senior setelah hampir beberapa minit dia berlegar-legar di kawasan itu . Langkahnya semakin laju menuju ke destinasi. Sudah hampir keluar barangkali… Dalam keadaan genting itu dia sempat mengingati peristiwa sama yang berlaku keatas dirinya semasa hari pertama mendaftar sebagai pelajar baru di Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur ketika umurnya 16 tahun. “Dulu pun macam ni jugak. Macam aku pulak yang nak daftar masuk sekolah… hei… mana tandas ni?.. Ha! Tu pun Tandas.” Hati Ferdi lega walaupun hajatnya belum terlaksana. Rupa-rupanya tandas yang dimasuki Ferdi itu tidak jauh di belakang dewan tempat pendaftaran berlangsung. Hati dah kelam kabut. Benda senang pun jadi susah. Kebetulan tandas kosong. Bagus… mana-mana pun oleh masuk. Tandas nombor satu dari depan paling dekat. Lagipun pintunya terbuka. Ferdi meneruskan langkahnya memasuki tandas itu. Dia menolak pintu untuk masuk ke dalam. Pada masa yang sama seseorang sedang menarik pintu tandas yang sama untuk keluar. “Opocot! Sorry…” Latah Ferdi. Seorang budak lelaki berkulit hitam manis setinggi bahu Ferdi keluar dari tandas itu. Melihat dari baju seragam yang dipakainya, dia pelajar baru. Tetapi dia tidak menunjukkan reaksi terkejut dalam insiden itu. Wajahnya tetap ‘maintain’. Dia memandang ke arah Ferdi dengan pandangan yang tajam lalu bersuara, “Macam takde tandas lain…” Nasib baik Ferdi dalam situasi yang tak mengizinkan untuk dia membalas balik kata-kata budak itu. Setelah menutup pintu tandas baru Ferdi bersuara, “ Hoi budak, kau ingat aku nak sangat tengok kau punya ‘anu’ tu. Kurang ajar betul. Tak hormat orang tua langsung.” Bentak Ferdi dari dalam tandas. Tiada jawapan dari luar. Bermakna budak itu dah keluar. Geram Ferdi dibuatnya. Budak macam dia tu tak layak masuk sekolah ni. Sekolah terbaik di Malaysia empat tahun berturut-turut. Budak macam tu bakal mengaibkan nama sekolah pada masa akan datang. Siapa agaknya orang tua dia? Tengok… Tak pasal-pasal orang tua dia kena. Kasihanlah sikit pada ibu bapa. Jangan sampai orang nak kenal ibu bapa kita disebabkan perangai buruk yang kita tunjukkan. Jika difikir-fikir balik, kejadian dulu pun Ferdi masuk ke tandas yang ada orang juga. Tapi itu gara-gara tombol pintu tandas rosak. Seorang pelajar senior didalamnya. Mujur Ferdi tak nampak apa-apa yang ‘ekstrim’. Petangnya Ferdi dikehendaki berjumpa dengan senior itu. Biasalah… Asrama. Salah sikit..., kena. Sementara itu, di dewan yang penuh sesak dengan pelajar baru yang ditemani penjaga masing-masing, Noor sabar menunggu giliran untuk mendaftar dan lapor diri. Hm.. lagi lima orang. Kejap lagi sampailah gilirannya. Walaupun tanpa Ferdi dia akan mendaftar seorang diri. Bukan susah sangat… Seperti biasa, kebanyakan pelajar di situ tertumpu ke arah Noor. Terutamanya pelajar lelaki. Ada yang menyapa lah..Ada yang memberi senyuman lah…Dan ada juga pelajar lelaki yang melambai tangan ke arah Noor. Noor hanya membalas dengan senyumannya yang manis. Tentunya selepas ini Noor akan menjadi pelajar popular di sekolah ini yang akan menjadi rebutan pelajar lelaki senior atau yang sebayanya. Pada ketika yang sama, ada satu suara lembut dari arah belakang Noor dan yang pasti suara itu milik seorang wanita. “Assalamualaikum...” Seorang wanita berumur dalam lingkungan 20-an berkulit hitam manis,berkaca mata, berhidung mancung bak seludang dan bertahi lalat di bawah mata memberi salam kepada Noor. “Waalaikumsalam…” Jawab Noor yang menyembunyikan perasaan terkejutnya sambil menoleh kebelakang. Wanita yang berseluar jeans, berbaju ‘body-fit’ dan tidak bertudung itu tersenyum lebar setelah Noor menatap wajahnya. “Nama adik Noor Aziah kan?” Soal wanita tersebut. “Ya, saya…” Jawab Noor. “Kalau macam tu, adiklah pelajar UPSR terbaik peringkat kebangsaan tahun lepas kan?” Soalnya lagi. “Saya menerima anugerah itu mewakili mereka yang terbaik. Saya yakin ada yang lebih baik dari saya.” Jawapan Noor membuatkan wanita itu berasa teruja. “Dari apa yang Adik Noor katakan tadi, jelas Adik Noor layak menerima anugerah itu.” Senyuman wanita itu menampakkan susun atur giginya yang cantik dan putih bak kulit kerang yang sudah lama terdampar dipantai. “Kenalkan….” Wanita itu menghulurkan tangan kearah Noor. Selesai saja amali di tandas, Ferdi kembali ke dewan sekolah. Waktu itulah baru dia sedar yang tandas itu tidak jauh dari belakang dewan. Hanya dipisahkan dengan beberapa batang pokok pinang sahaja. Dalam perjalanannya dia teringat tentang budak yang dijumpainya ditandas sebentar tadi. Sejurus selepas budak yang tak berbudi bahasa itu keluar dari tandas, Ferdi terhidu bau asap rokok. Bahkan ada sebatang puntung rokok di lubang tandas. Ferdi tidak menuduh, tetapi kemungkinan budak itu menghisap rokok amat tinggi jika berpandukan bukti-bukti yang jelas dan nyata di tandas tadi. Begitulah penjelasan inspektor Ferdi mengenai kes ini. “Ah, lantaklah.. bukan adik aku. Kalaulah adik aku, aku ‘cancel’ pendaftarannya dan aku hantar ke Henry Gurney.” Marah betul hati Ferdi. Setibanya di pintu besar dewan, Ferdi dapati keadaan makin sesak. Ramai juga yang datang lewat selepas dari mereka. Sekolah ini memang menjadi tumpuan pelajar dari negeri lain. Ferdi tidak dapat melihat Noor dari tempat dia berdiri. Keadaan begitu sesak. Dia Cuma boleh mengangak kedudukan Noor dari situ. Ferdi menyusur mengikut arah yang dirasakannya betul. Dapat beberapa langkah dari pintu besar dewan, secara tak sengaja dia terimbas lagi insiden semasa hari pendaftaran di Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur dahulu yang secara kebetulan bersamaan dengan apa yang berlaku sebentar tadi. Persamaan itu tidak terhenti setakat itu sahaja kerana lima tahun lalu selepas dia sesat mencari tandas dan termasuk ke dalam tandas yang digunakan seniornya, dia kembali ke dewan tempat pendaftaran dijalankan. Selang beberapa langkah memasuki dewan, perhatiannya tertumpu ke satu wajah yang boleh memadam wajah sesiapa saja dari pandangannya di dalam dewan itu. Berkulit hitam manis, berkaca mata, Berhidung mancung bak seludang dan bertahi lalat dibawah mata. Tak ubah seperti pelajar perempuan melayu terakhir. Kini, di Sekolah Menengah Sains Tengku Jalil Shah, Ayer Keroh, Melaka, Ianya berulang kembali. Ferdi takkan lupa wajah itu walaupun dengan penampilan tidak bertudung. Kini bukan setakat insiden di tandas, tapi semua memori indahnya semasa di Sekolah Teknik Kuala Lumpur berlegar di ruang matanya. Heroin terbaik pementasan drama, permintaan lagu semasa Hari Kantin, markah sama dalam Pertandingan Nyanyian, duet lagu Mawar ku di jamuan akhir tahun, memegang ‘ranking’ teratas dalam ‘couple of the month’ tiga bulan berturut-turut ‘anjuran’ guru disiplin, pelari terpantas 110 meter berhalangan kategori perempuan dan banyak lagi… Bidang suara dan olahraga adalah kepakaran gadis itu sewaktu di sekolah teknik. Tak tahu lah sekarang. Kalau ada persembahan nyanyian mesti ada Ferdi dan dia. Mereka berdua diiktiraf sebagai pasangan yang ideal dalam seni suara oleh pengetua sekolah sendiri. Malah ada diantara guru melabel mereka sebagai pasangan kekasih. Terutama Guru Disiplin. Akibatnya mereka pernah memegang kedudukan teratas selama beberapa bulan dalam ranking ‘Couple of the Month’ yang dibuat oleh lembaga disiplin sekolah bagi mengenalpasti ‘Romeo & Juliet’ yang sedang menuntut di Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur. Pernah sekali mereka mendapat markah tertinggi yang sama dalam pertandingan nyanyian Bahasa Inggeris antara kelas. Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur pernah berbangga mempunyai atlit lari berhalangan 110 meter kategori wanita yang mewakili Wilayah Persekutuan dalam Sukma 99’. Selama dua tahun dia cuba memikat hati gadis yang pernah diberi jolokan ‘Tyra Banks of Technical Institute’ kerana wajahnya mirip peragawati bertaraf dunia itu. Namun, tiada jawapan yang memuaskan dari gadis yang menjadi kegilaan pelajar lelaki pada ketika itu. Gadis itu memberi alasan dia belum bersedia untuk melalui alam percintaan dan akan mengutamakan cita-citanya berbanding perkara lain. Sehinggalah hari terakhir persekolahan Ferdi meluahkan cintanya pada gadis berkulit hitam manis itu buat kali terakhir. Jawapan gadis itu memberi seribu harapan kepada Ferdi apabila dia menyatakan kesediaannya menerima Ferdi setelah dia menamatkan pengajian sekiranya mereka ditakdirkan bertemu selepas itu. Ferdi pernah meminta agar mereka saling berhubung tetapi permintaannya ditolak. Gadis itu menyatakan kepada Ferdi kalaulah benar Ferdi adalah jodohnya, suatu hari pasti mereka akan berjumpa. Sebenarnya Ferdi masih berpegang pada kata-kata gadis pujaannya itu. Cuma akhir-akhir ini dia merasakan harapan untuk bertemu gadis itu seperti dimakan waktu. Ditambah lagi kemesraan bersama Adik Sepupunya mengikis sedikit demi sedikit kenangan beserta harapannya pada gadis itu. Apalagi ditambah dengan hubungan Ferdi dan Noor yang kini telah menjalinkan ikatan yang lebih erat dan kukuh. Kini, Apa yang dikatakan takdir sudah terjadi. Harapan Ferdi bukan sekadar mimpi sahaja. kelibat ‘Tyra Banks’ itu muncul di depan matanya setelah harapan bertemu gadis itu hampir tersimpan di muzium hatinya . Sepertinya cubaan untuk menambat hati si jelita itu akan diteruskan selepas ini. Apa lagi melihat penampilannya kini yang begitu anggun dan mempesona umpama Tyra Banks yang sebenar. “Mungkinkah dia akan mengotakan janjinya tiga tahun lalu?” Itulah soalan yang sering menghantui Ferdi kini. Alah… Kalau dia tak nak pun tak mengapa kerana Ferdi dah ada yang punya! Sesuai tak sesuai, itu belakang kira. “Nampaknya dia tengah berbual dengan seseorang..” bisik hati Ferdi. Tidak kelihatan dengan siapa dia berbual kerana pandangan Ferdi dihalang oleh sekumpulan orang didepannya. Langkahnya masih diteruskan. Semakin hampir dengannya, bermakna akan kelihatanlah teman bualnya. “Apa dia buat kat sini?” Ferdi berkata sendirian. Langkah Ferdi semakin perlahan dan akhirnya berhenti apabila dia melihat dengan jelas dengan siapa gadis pujaannya itu berbual. Bukan dengan teman lelaki mahupun sesiapa… Tetapi dengan adik sepupunya, Noor. Di depannya kini terpampang dua individu berlainan era. Era persekolahannya dahulu yang penuh dengan kenangan mengusik kalbu dan era barunya bersama seorang insan cilik yang begitu istimewa dalam hidupnya. Noor tidak sedar kehadiran Ferdi kerana asyik berbual dengan wanita yang baru memperkenalkan diri kepadanya. Begitu juga dengan wanita itu, tidak sedar akan kehadiran jejaka yang mengidamkan dirinya. “Lambat lagi ke Noor?” Tanya Ferdi selamba sambil pura-pura tak mengenali rakan bual Noor. Ferdi sengaja berdiri di belakang sekujur tubuh yang seksi itu. “Ha… Ni lah Abang sepupu yang saya maksudkan..” Noor memperkenalkan Ferdi kepada wanita itu. Tolehan gadis itu membuatkan rambut lurusnya yang keperang-perangan terhayun beberapa inci di hadapan muka Ferdi. Ekspresi wajahnya yang sebentar tadi ceria kini bertukar menjadi seperti mendapat ‘surprise’ harijadi. “Ferdi!?” Nama Ferdi tiba-tiba terpacul dari mulutnya. “Oh my God.. Mislia kan?” Ferdi pun turut sama terkejut. Lakonannya amat berkesan. “Eh eh… dah tak kenal ke? Mesti Kau ingat Aku ni Tyra Banks kan?” Gadis itu berseloroh dengan suara yang agak manja. “Dulu Kau macam Tyra Banks. Sekarang dah jadi lebih dari Tyra Banks.” Ferdi membalas usikan sambil tertawa kecil dan dibalas dengan satu pukulan manja ke lengan Ferdi oleh gadis itu. Noor terpaku seketika melihat telatah mereka berdua. Tapi dia belum terfikir yang kedudukannya tergugat. “Abang kenal dia?” Noor bersuara di celah-celah tawa mesra Ferdi dan Mislia. “Siapa tak kenal ratu pecut KL ni.” “Siapa pulak tak kenal guru vokal Kak Mis ni, Dik..” Balas Mislia. Mereka berdua menyambung tawa masing-masing. Noor hanya tersenyum. Nampak sangat senyuman yang di buat-buat. Cemburu tetap ada. Tetapi masih di tahap yang boleh dikawal. “Tak sangka ya, kita boleh berjumpa lagi. Betul tak Aku cakap… Kalau dah jo…” Kata-kata Mislia di celah dengan pantas oleh Ferdi. “Kau buat apa kat sini?” “Hantar adik lelaki Aku. Kau pulak buat apa kat sini?” Jawab Mislia dan menanyakan soalan yang dia tahu jawapannya. “Sama lah… Hantar adik sepupu. Noor tu adik sepupu Akulah…” Jawab Ferdi. “Dah tahu dah… Beruntung Kau dapat adik sepupu yang pintar macam Noor. Bukan setakat pintar, popular pulak tu. Betul tak Noor?” Mislia memandang dan tersenyum ke arah Noor. Noor hanya tersenyum dengan pujian dari wanita yang bernama Mislia itu. Ikutkan hatinya, dia ingin memberitahu yang dia adalah kekasih Ferdi. Nak kena gelak, bagitahu lah.. “Mana adik Kau? Tak nampak pun?” Ferdi berpaling ke kiri dan kanan. “Entah la… Tadi dia cakap nak pergi ke tandas. Sampai sekarang tak datang-datang. Dia tu terpaksa bersekolah di sini. Dia nak bersekolah di sekolah biasa.Tak nak tinggalkan kawan-kawan katanya. Nasib baik mak dapat pujuk dia. Itupun monyok je masa sampai sini.” Terang Mislia. “Tandas?” Ferdi teringat peristiwa di tandas sebentar tadi. “Kenapa? Kau nampak dia ke?” Tanya Mislia ingin tahu. “Eh, Tak lah.. Muka dia pun Aku tak kenal.” Ferdi mengerutkan dahi. “Alah… ‘Cute’ macam aku jugak. Hitam manis. Tinggi bahu kau. Dan yang paling nyata sekali, muka dia tengah masam macam cuka getah.” Terang Mislia mengenai adiknya. “Oh.. Tak nampak, tak nampak.” Jawab Ferdi ringkas. Ferdi mengesyaki sesuatu tentang pelajar baru yang ditemuinya di tandas tadi. Mungkinkah dia adik kepada Mislia? Entah la. Sedar tak sedar, giliran Noor untuk sampai ke meja pendaftaran sudah hampir. Selang satu pendaftaran saja. “Lepas selesai semua urusan, kita jumpa kat kantin sekolah ya. Ada sesuatu aku nak cakap kat kau.Jangan lupa ya.” Mislia mengajak Ferdi sambil melemparkan senyuman manis pada Ferdi. Dari raut wajah Mislia, Ferdi seakan boleh mengagak apa yang ingin dibicarakan. Nampaknya Mislia berpegang pada janjinya dahulu. Ferdi serba salah untuk menjawab kerana Noor berada di situ. “Mm… Macamana ya..? Boleh tak Noor?” Ferdi meminta izin dari Noor. “Aik!Macam minta izin kat awek lah pulak. Takkan lah jumpa aku pun nak tanya kat adik kau.” Hairan Mislia dibuatnya. “Yelah Bang… Buat apa Tanya saya? Saya kan adik abang. Pergi aja lah… Banyak benda yang Kak Mis nak cerita. Kan dah lama tak jumpa.” Noor mengiakan kata-kata Mislia. Sebenarnya dia sedang memerli Ferdi dan Ferdi faham maksud Noor. “Aku ke sini dengan Noor. Tak salah kan minta izin dari dia?”Ferdi memberi pandangan. Sebenarnya dia terlepas cakap sebentar tadi. “Oklah… Whatever, tapi jangan lupa tau?” pesan Mislia kepada Ferdi. “Adik Noor belajar rajin-rajin tau kat sini. Kalau ada waktu, bantulah Rizal serba sedikit dalam pelajaran ya?” sambung Mislia lagi. Tetapi kali ini ditujukan pada Noor. “Siapa Rizal tu, kak?” Tanya Noor. “Oh ya, Lupa akak nak kenalkan. Rizal tu adik akak. Tak lama lagi Noor kenallah dengan Dia. Mohd Rizal Bin Ismail.” Jelas Mislia. “Baiklah kak..” Jawab Noor ringkas. Ferdi tak berapa selesa mendengar Mislia memperkenalkan Adiknya kepada Noor. Setelah selesai mendaftar sebagai pelajar baru di Sekolah Menengah Sains Tengku Jalil Shah, Noor dan Ferdi pun kembali ke astaka di mana mereka meletakkan barang-barang Noor. “Noor izinkan tak abang jumpa dia?” Tanya Ferdi meminta kepastian. “Pergi je lah. Noor izinkan. Nanti apa pulak kata kakak tu. Kesian dia. Tapi, apa yang penting sangat yang nak diperkatakan antara abang dan dia?” Noor bertanyakan soalan yang menyentap jantung Ferdi. “Alah… Pasal kawan-kawan lama kot.. Mungkin nak reunion balik agaknya.” Ferdi menyembunyikan kebenaran. “Ok.. Abang jumpalah Kak Mis. Biar Ayah dan Ibu saja yang hantar Noor ke Asrama.” Noor memberi keizinan pada Ferdi. “Noor jangan risau. Di hati Abang hanya ada Noor.” Ferdi meyakinkan Noor. Noor hanya tersenyum. Senyumannya melambangkan keyakinan terhadap kejujuran Ferdi. Mereka berpecah. Noor meneruskan perjalanan ke astaka dan Ferdi kena mencari dimana letakkanya kantin sekolah untuk bertemu dengan gadis yang pernah menjadi idamannya dulu. Setibanya di kantin Ferdi mencari Mislia. Matanya melirik ke kiri dan ke kanan. Batang hidung Mislia pun dia tak nampak. Belum sampai agaknya. Ferdi mencari tempat untuk melabuhkan punggungnya. Dia memilih tempat yang agak lengang sedikit di penjuru kantin. Suasana kantin agak tenang walaupun kedengaran perbualan antara ibu bapa dan pelajar-pelajar baru diselangi dengan suara anak-anak kecil sedang bermain di sekitar kantin. Lama juga Ferdi menunggu. Hampir 10 minit. Takut tak sempat pulak berjumpa dengan Noor untuk terakhir kali sebelum dia pulang ke Selangor. Sedang dia berfikir demikian barulah Kelibat Mislia yang ditunggu-tunggunya diri tadi muncul di depannya. “Hai, lama tunggu?” Mislia menyapa dahulu sebelum dia mengambil tempat bertentangan dengan Ferdi. Kali ni penampilannya berbeza. Berbaju kurung dan bertudung. Alahai, tak ubah seperti Mislia masa sekolah dulu… “Boleh la tahan.” Jawab Ferdi yang tak berkelip memandang Mislia yang berpakaian sopan. Tak ditanya pula kenapa. “Kenapa lambat?” Sambungnya lagi. “Lepas daftar adik, aku lapor diri di pejabat sekolah.” Jawab Mislia sambil meletakkan beberapa fail dan buku di atas meja. “Lapor diri?” Ferdi hairan. “Ya, sebagai guru pelatih.” Mislia tersenyum. “Kau mengajar kat sini? Ah! Betul ke ni?” Ferdi masih sangsi dengan kenyataan Mislia. “Betul. Aku ambil Ijazah Perguruan Sains lepas SPM. Sebelum graduate ni, Aku kena training kat sini selama dua tahun. Kementerian yang hantar aku ke sini. Kebetulan adik aku dapat belajar kat sini.” Jelas Mislia panjang lebar. “Kau dah cerita kat Noor yang kau guru kat sini?” “Belum. Aku saja tak cerita. Biar dia tahu sendiri nanti.” Mislia tersenyum bangga. Ferdi terdiam seketika. “Apa yang kau nak cakap pada aku?” Ferdi memecah kebuntuan. “Aku nak Tanya kau… Kau masih ingat janji aku pada kau dulu?” Mislia memulakan perbicaraan. “Mana boleh aku lupa kenangan aku di sekolah Teknik. Terutamanya pasal kau.” Ferdi memandang tepat ke arah mata Mislia. “Kalau kau nak tahu, masa sekolah dulu memang aku tak ada perasaan cinta pada kau. Aku hanya anggap kau sebagai kawan. Hati aku belum terbuka untuk sesiapa kerana aku rasa aku lebih pentingkan pelajaran aku. Tapi selepas kau meluahkan rasa hati pada aku buat kali terakhir selepas SPM, aku terpegun dengan sikap kau yang tak pernah berputus asa untuk mendapatkan aku. Aku hormati keikhlasan hati kau. Sebenarnya pintu hati aku dah terbuka ketika itu tetapi cita-cita aku mengatasi segalanya. Aku kesal kerana menolak permintaan kau supaya kita terus berhubung. Akibatnya, setiap hari aku terkenangkan memori indah sepanjang zaman persekolahan kita berdua. Aku cuba dapatkan nombor ‘contact’ kau pada kawan-kawan, tapi tak dapat. Kesimpulannya, selama tiga tahun ni aku tak dapat lupakan kau.” Mislia meluahkan segalanya pada Ferdi. Benar apa yang Ferdi duga. Malah lebih dari itu. Kalau dulu Ferdi yang beria-ia, sekarang Mislia pula yang meluahkan perasaan kepadanya. “Macamana dengan cita-cita kau?” Ferdi masih mahukan kepastian tentang perasaan Mislia. “Tentang cita-cita aku, lupuskanlah dari perjanjian. Aku sedar kini yang cinta boleh seiring dengan cita-cita. Aku dah semakin dewasa untuk menghadapi semua ini.”Balasnya lagi. Kalau tak kerana Noor, mungkin Ferdi sudah melompat gembira menembusi bumbung kantin. Perlukah dia mengorbankan ikatannya dengan Noor semata-mata untuk menerima gadis yang membiarkan dia tertunggu-tunggu selama beberapa tahun? Sanggupkah dia menodai janji yang tak sampai pun setahun jagung dengan alasan Mislia terlebih dahulu bertahta di hatinya? Lagipun Mislia lebih layak jika usia jadi ukuran. Sedangkan Ferdi perlu menunggu lama jika dia meneruskan hubungan dengan Noor yang baru berusia 13 tahun. Lebih kurang 10 tahun lagi Noor mungkin menamatkan pelajarannya. Dalam tempoh waktu yang agak lama itu, banyak kemungkinan boleh terjadi, sedangkan Mislia sudah cukup matang dan bersedia untuk dirinya. Walau apa sekali pun, Ferdi tak boleh memutuskannya sekarang. “Kau memang pujaan hati aku ketika dulu. Sampai sekarang pun aku masih ingat kenangan silam kita. Tapi aku perlukan waktu untuk membuat keputusan memandangkan sudah tiga tahun kita berpisah.” Jelas Ferdi. “Kenapa? Kau sudah ada yang punya ke?” Soal Mislia yang kurang senang dengan jawapan dari Ferdi. “Bukan macam tu…Aku ni boleh dikatakan dalam keadaan terkejut juga. Tiba-tiba kau muncul kembali dalam kehidupan aku. Aku macam tak percaya. Bagilah aku sedikit masa.” Minta Ferdi. “Baiklah…Aku faham keadaan kau. Kau berhak menilai perasaan dan keadaan aku sekarang. Fikirkanlah baik-baik. Tapi kau harus ingat aku adalah destinasi perjalanan cinta kau yang makin hampir pasti kau akan tiba di sana. Bukan aku membangga diri dengan mengatakan seperti itu, tapi aku cukup yakin dengan perasaan cinta kau pada aku. Aku dapat rasakan yang kau akan menerima aku walaupun aku terlalu banyak membuang masa kau dahulu. Hubungi aku jika kau telah bersedia.” Mislia mengoyakkan sedikit kertas yang ada di dalam salah satu fail di hadapannya dan menulis sesuatu lalu didorongkan cebisan kertas itu ke hadapan Ferdi. Mislia berlalu pergi dari situ meninggalkan senyuman buat Ferdi bagi mengisi khayalan ruang mata Ferdi selepas ini. Melihat dari zahirnya, Mislia kecewa dengan hasil pertemuannya dengan Ferdi sebentar tadi. Tetapi, melihat dari senyumannya yang sinis sewaktu meninggalkan Ferdi, terpancar keyakinan dari dalam diri Mislia yang Ferdi tidak akan mengecewakan hati dan perasaannya. Ferdi merenung ke arah cebisan kertas yang tertulis nombor telefon bimbit tidak bernama di tangannya. Setelah puas merenung, Ferdi memasukkan nombor tadi ke dalam telefon bimbitnya. Mislia hilang dari pandangan. Muncul pula Pakcik Fahmi di depan Ferdi. “Urusan dah selesai. Noor dah masuk ke asrama. Meh kita balik. Kang malam pulak sampai kat rumah.” Pakcik Fahmi bersuara di hadapan Ferdi. “Alamak pakcik! Tak dapatlah saya jumpa Noor buat kali terakhir..!” Ferdi baru teringat untuk bertemu dengan Noor sebelum pulang. “Kau buat apa kat sini lama-lama. Tak boleh jumpa dah. Dia orang berkumpul di dewan makan asrama kena mendengar taklimat untuk pelajar baru. Kita balik je lah.. Lain kali kau boleh jumpa dengan adik kau tu.” Desak Pakcik Fahmi. Ferdi kesal kerana tak dapat melihat Noor buat terakhir kalinya. Jauh di lubuk hatinya Mislia harus bertanggungjawab dalam hal ini. Tetapi,ada baiknya juga dia tidak berjumpa Noor kerana dapat bertemu dengan Mislia dan mengetahui perasaan Mislia terhadap dirinya. Ferdi bingung sebingung bingungnya untuk membuat keputusan. Toyota Unser yang dinaiki mereka meluncur keluar dari kawasan sekolah lebih kurang jam 12 tengahari. Sudah pasti apa yang terjadi di Sekolah Menengah Sains Tengku Jalil Shah akan memberi impak pada kehidupannya selepas ini. Hatinya terbahagi dua. Pilihanraya terpaksa dijalankan setelah parti cinta Noor terpaksa menerima tentangan parti pembangkang untuk merebut setiap kawasan dewan undangan negeri di hati Ferdi. Buat pertama kalinya Noor berada jauh dari keluarga dan insan yang tersayang. Kalau dahulu boleh dikatakan hampir setiap hari dia ketemu dengan Ferdi, tapi kali ini dia terpaksa menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai pelajar asrama. Tiada ayah, ibu, kakak, abang dan Ferdi di sisi, membuatkan dia rasa kesunyian pada permulaannya. Kawan pun tak ramai lagi. Kalau ada pun baru kenal nama, belum kenal rapat lagi. Kalau dulu makan minum dan pakaian ada yang mengurus, tapi kini dia terpaksa melakukannya sendiri. Ada eloknya juga tinggal berjauhan dengan keluarga. Kita dapat belajar berdikari dan mengurus kehidupan dengan cara kita sendiri. Dari situlah pemikiran kita dapat diolah untuk membentuk nilai-nilai murni dalam diri yang akan menjadi bekalan kita di hari muka. Itupun kalau kena dengan caranya. Seminggu menjalani suai kenal atau minggu orientasi mendedahkan Noor keadaan sebenar di asrama dan di sekolah barunya. Peraturan-peraturan yang ditetapkan wajib dihafal satu persatu oleh setiap pelajar baru. Tiada yang berkecuali dalam hal disiplin. Seperti yang dijangka, Noor menjadi tumpuan pelajar dan guru-guru di sekolah itu. Dengan reputasinya sebagai Pelajar terbaik UPRS peringkat kebangsaan, ramai pelajar yang mahu berkawan rapat dengannya. Noor menganggap semua pelajar di asrama itu adalah kawan rapat kepadanya.Cuma ada beberapa pelajar yang sebilik dengan Noor yang betul-betul dijadikan kawan rapatnya. Antaranya Ila, Amiroh, Fasha dan Alice. Ada juga pelajar senior berjumpa dengannya untuk menjadikan Noor sebagai adik angkat tetapi di tolak dengan baik oleh Noor. Minggu orientasi juga menemukan Noor buat kali kedua dan seterusnya dengan wanita yang tak disangkanya adalah teman kepada Ferdi. “Akak!” Noor terkejut melihat wanita yang pernah di temuinya semasa hari pendaftaran. “Ya, saya..” Jawab Mislia selamba sambil tersenyum. “ Akak buat apa kat asrama ni?” Noor gembira dapat bertemu sekali lagi dengan Mislia yang peramah dan mudah tersenyum itu. Pada sangkaannya Mislia bekerja di dewan makan asrama kerana pertemuan itu berlaku di tepi dewan makan selepas makan pada pukul 7 malam. “Akak baru masuk asrama petang tadi. Lewat dua hari pasal permohonan baru sahaja lulus hari ini.” Jelas Mislia sambil mendekati Noor yang sedang berdiri bersama empat lagi rakannya. “Sebenarnya berapa umur akak? Kan sama dengan Abang Ferdi.” Noor kebingungan dengan jawapan Mislia yang seakan-akan menyatakan dirinya adalah pelajar yang baru masuk asrama. “Mulai sekarang, Noor kena panggil akak, Cikgu… Faham?” Mislia mengajukan telunjuknya ke arah Noor sambil mengoyangkannya ke depan dan ke belakang. “La….Ye ke…?” “Cikgu mengajar SainsTulen dan Biologi tingkatan 4 dan 5. Sekaligus merangkap guru warden kamu semua.” Sambungnya lagi. “Baik cikgu!” Noor tersenyum sambil menundukkan sedikit badannya. Mislia berlalu pergi. Wah! Penuh dengan kejutan. Tidak lama kemudian, Noor juga bergerak bersama empat rakannya menuju ke bilik. BILIK CEMPAKA Mereka tiba di depan sebuah bilik di tingkat dua Blok D Asrama Puteri berdekatan dengan bilik mandi yang berada paling tepi sekali. Itulah nama bilik Noor bersama empat belas orang pelajar lain yang terdiri dari tingkatan yang berbeza. Lima pelajar Tingkatan Satu, tiga pelajar Tingkatan Dua, tiga pelajar Tingkatan Tiga, dua pelajar Tingkatan Empat dan dua pelajar Tingkatan Lima. Jika mengikut rutin harian, Selepas ini mereka akan menuju ke surau yang terletak di tengah-tengah blok Asrama Putera dan puteri bagi menunaikan sembahyang Maghrib berjemaah. Blok A dan B menempatkan Pelajar lelaki manakala Blok C dan D menempatkan pelajar perempuan. Sungguh berbeza sekali suasana di asrama. Noor terasa janggal pada mulanya. Tetapi setelah setengah bulan berada di sana, Noor dapat membiasakan diri dengan keadaan. Rasa rindu pada keluarga pun boleh ditetapkan waktunya. Kalau mula-mula dulu, setiap saat tak pernah hilang ingatan pada kampung halaman dan keluarga. Tak kiralah samada di kelas, bilik, tandas, dewan makan, surau atau dimana saja kawasan asrama, pasti tergambar wajah ibu bapa dan keluarga serta kawan-kawan yang jauh di mata. Apalagi menjelang waktu tidur di malam hari. Ada juga yang menitiskan air mata sedih. Itu sindrom biasa bagi mereka yang pertama kali duduk di asrama. Lama kelamaan, ianya akan hilang dan hanyut dibawa arus keseronokan bersama rakan-rakan yang semakin mesra dan seronok menempuhi hidup di asrama bersama-sama. Selesai menunaikan solat berjemaah, pelajar Tingkatan Satu diminta berkumpul di Dataran Sekolah bagi menjalankan sessi orientasi yang seterusnya pada hari kedua . Manakala pelajar lain akan pergi ke kelas prep seperti biasa. Perhimpunan itu juga disertai oleh tiga orang Guru Warden lelaki. Ketua Pelajar dan Penolongnya juga menghadiri perhimpunan itu. “Warden akan melantik beberapa orang daripada kamu bagi mengendalikan Malam Penutup Minggu Orientasi kita pada hari Ahad ini. Mereka yang terpilih sila tampil ke depan.” Arahan Guru Warden Asrama itu disampaikan oleh Ketua Pelajar iaitu Sulaiman. “Mohd. Syafiq bin Sani.” “Noor Aziah binti Fahmi.” Mendengar nama Noor disebut oleh Sulaiman, perhimpunan menjadi riuh sedikit. Noor yang dalam keadaan terkejut lantas bangkit dan menyusup dicelah-celah barisan pelajar-pelajar lain menuju ke depan. “Dan yang terakhir sekali, Mohd. Rizal bin Ismail.” Pelajar terakhir yang disebut namanya tidak kelihatan. Tak seorang pun dilihat mara ke hadapan. Perhimpunan menjadi riuh kembali dan masing-masing saling mencari siapa gerangan yang bernama Mohd. Rizal bin Ismail. Dalam masa kekecohan itu, seorang pelajar kelihatan berjalan dari arah Asrama Putera menuju ke dataran tempat berlangsungnya perhimpunan. Pelajar itu meneruskan langkahnya ke hadapan perbarisan pelajar. Sepertinya dia tahu yang namanya dipanggil sebentar tadi. Padahal Sulaiman tidak menggunakan alat pembesar suara. Pelik. Noor teruja ingin melihat adik Cikgu Mislia. Dia masih ingat nama adik Cikgu Mislia yang pernah disebut semasa hari pendaftaran. “Ni ke dia? Nampak macam samseng je.. Suka hati dia je datang lewat. Dah la buat muka selamba pulak tu.” Bisik hati Noor selepas dengan jelas dia melihat insan yang bernama Mohd Rizal. Betul kata Noor. Riak muka Rizal itu langsung tak menunjukkan yang dia bersalah kerana lewat menghadirkan diri ke perhimpunan itu. Malah dia berasa bangga dengan apa yang telah dilakukannya. Rizal menghampiri dua pelajar yang sedang berdiri di hadapan, iaitu Noor dan Syafiq. Setelah begitu hampir dengan Noor barulah Rizal perasan yang dia berhadapan dengan ‘best student of the year’. “Boleh tahan jugak budak ni dari jarak dekat. ‘Cute’ pulak tu. Dia pun lewat jugak ke?” Nampaknya hati Rizal sudah sedikit terpikat dengan wajah Noor. Rizal berdiri disamping Noor dan sempat berbisik pada Noor, “Datang lewat jugak ke?”. Nadanya seperti mengejek. Rizal sangkakan Noor dan seorang lagi pelajar yang berdiri di hadapan itu didenda kerana lewat sepertinya. Dia tidak tahu yang dia kena memikul satu tugas khas. Sulaiman menerangkan lagi bahawa pemilihan adalah berdasarkan keputusan UPSR yang terbaik antara mereka dan mempunyai rekod Ko-Kurikulum yang memberangsangkan semasa di sekolah rendah. Noor tersengih mendengar bisikan Rizal sambil memberi pandangan sinis. “A ah…Sekejap lagi kita bertiga kenalah…” Jawab Noor juga dengan nada yang sama. “Mohd Rizal! Tak ada orang lain ke yang saya nak denda. Asyik awak saja. Kenapa lewat?” Tanya Sulaiman dengan suara yang agak keras. “Tandas.” Jawab Rizal ringkas sambil memaling muka ke arah lain. “Boleh jawab sopan sikit tak? Awak dah melakukan kesalahan dan jangan nak tambah kesalahan awak lagi. Depan Warden awak boleh cakap macam tu.” Jawapan Rizal yang sambil lewa tidak disenangi oleh Sulaiman. Beberapa orang Guru Warden pun menggelengkan kepala mendengar jawapan Rizal. Rizal hanya terdiam sambil tersengih macam kerang busuk. Tiada secubit pun perasaan takut atau hormat jika dilihat dari riak wajahnya. Sekali-sekali dia menjeling ke arah Noor dan tersenyum. Noor mual hati dengan perangai Rizal. Macamana dia nak bekerjasama dalam pelajaran seperti yang dipesan oleh Mislia kalau perangai Rizal tak ubah macam samseng taik minyak macam ni. Tak sangka pula Cikgu Mislia ada adik yang berperangai macam tu. Sayang sekali perangai tak seiring dengan kepandaian yang dimilikinya. Noor baru dimaklumkan pagi tadi oleh guru kelasnya, Puan Mawaddah, bahawa pelajar terbaik UPSR peringkat Negeri Melaka ada di Kelas 1 Citra iaitu bersebelahan dengan kelas 1 Bestari, kelas yang diduduki Noor. Seorang pelajar lelaki katanya; tanpa menyebut nama pelajar itu. Jika pelajar yang akan mengendalikan malam penutup Minggu Orientasi pada hari Ahad ini dipilih berdasarkan pencapaian UPSR, ini bermakna kemungkinan besar Rizal lah orangnya kerana Mohd Syafiq adalah rakan kelasnya dan Noor tahu yang Mohd Syafiq berasal dari Pulau Pinang. Puan Mawaddah yang berbangga kerana Noor Aziah berada di bawah jagaannya juga ada memberitahu kepada kelasnya yang pelajar terbaik Pulau Pinang dan Melaka berada di tempat kedua dan ketiga seluruh negara. Cikgu Mislia dari Batu Berendam. Maknanya betul lah tu! Mohd Rizal adalah Pelajar terbaik negeri Melaka dan ketiga seluruh negara. “Kak Mislia suruh aku Bantu adiknya dalam pelajaran. Nak Bantu apanya, dia dah pandai. Ntah ntah lagi pandai daripada aku. Mungkin Kak Mislia sengaja bersikap merendah diri masa tu.” Noor berfikir seorang diri di saat Rizal ditempelak bertubi-tubi oleh Sulaiman Si Kapten Asrama. Nasib baik Mislia tiada dalam perhimpunan. Kalau tidak sudah tentu Rizal akan dapat tempelakan dari kakaknya pula selepas itu. Mislia sudah sedia maklum dengan perangai Rizal yang keras kepala dan suka bertindak mengikut sesuka hatinya. Tak payah dengan orang lain, dengan Mislia yang berpangkat kakak pun dia tidak berapa hormat. Rakan-rakannya dulu terdiri dari remaja yang lebih tua dari dia dan kebanyakannya sudah berhenti sekolah. Pergaulannya juga agak bebas. Selalu keluar malam dan terjebak dengan gejala sosial peringkat permulaan seperti rokok dan lepak. Anak bongsu dari dua beradik ini tidak mendapat perhatian sepenuhnya. Perceraian ibu bapa adalah punca utama masalah ini. Mislia dan Rizal terpisah setahun lalu setelah bapa mereka, Encik Ismail menceraikan ibu mereka, Puan Syuhada atas sebab perselisihan faham tentang kesetiaan masing-masing dalam melayari bahtera yang mereka kemudi bersama selama 21 tahun. Natijahnya, Encik Ismail mendapat hak menjaga Mislia dan sebaliknya bagi Puan Syuhada. Kini, Mislia mendapat seorang ibu tiri yang begitu baik terhadap dirinya. Manakala Rizal jarang mendapat perhatian dari Puan Syuhada yang selalu sibuk dengan perniagaan butiknya dan beliau belum mendapat pengganti Encik Ismail sehingga kini. Sering kali Puan Syuhada pulang lewat malam di temani oleh lelaki yang silih berganti dan beliau tidak kisah kelakuannya itu diperhatikan oleh Rizal dari dalam rumah beliau. Keadaan ini menyebabkan Rizal kurang mendapat pengawasan dari Puan Syuhada tentang apa yang dilakukan oleh Rizal dan dengan siapa Rizal berkawan. Tetapi tuhan masih memberikan keistimewaan kepada Rizal. Dia dikurniakan otak yang bijak dan cerdik yang membantunya berjaya dalam pelajarannya. Keputusan peperiksaan setiap semester pasti berpihak kepada dia walaupun dia banyak dikenakan tindakan disiplin semasa berada di darjah enam. Selepas mendapat keputusan UPSR yang cemerlang dan mendapat tawaran ke asrama penuh, Mislia yang sudah sedia sedar akan kepintaran adiknya itu berbincang dengan ibu mereka iaitu Puan Syuhada untuk menerima tawaran itu. Tetapi dengan syarat, Mislia dikehendaki mengurus semua kemasukan Rizal ke sana kerana Puan Syuhada berpendapat dia sentiasa dalam keadaan sibuk walaupun pendaftaran Rizal tidak sampai sehari pun prosesnya. Lagipun sekolah baru Rizal bukannya jauh sangat. Dalam negeri Melaka jugak. Kalau dah tak nak tu, cakap je la… tak payah nak bagi alasan sibuk atau tak ada masa. Kebetulan juga Mislia dapat tawaran ke sekolah yang sama sebagai guru pelatih. Mislia setuju dengan syarat Puan Syuhada itu demi masa depan adiknya dan berharap adiknya itu dapat berubah setelah dia duduk di asrama kelak. Setelah puas Sulaiman mencurah air ke Rizal yang umpama daun keladi itu, Sulaiman mengarahkan Rizal supaya meminta maaf kepada Guru Warden yang ada di situ kerana bercakap tidak sopan. “Dari tadi asyik saya je kena… Yang dua orang ni dah kena denda belum?” Lain pula yang diucapkan oleh Rizal. Memang tak makan saman betul budak ni. Noor tunduk sambil menahan gelak kerana dia berjaya memperdaya Rizal. Sebahagian pelajar yang berada di barisan depan juga melakukan perkara sama. “Ooo… Rupanya yang awak terus ke depan ni awak ingat dia orang ni sama dengan awak la. Datang Lewat. Tak sopan macam awak.” Sulaiman baru tahu yang Rizal rupanya tidak tahu tujuan mereka bertiga dipanggil kedepan. Terpaksalah Sulaiman menerangkan kepada Rizal tentang tugasan mereka bertiga. “Macam rancangan the Apperantise la pulak.” Ajuk Rizal dengan nada yang agak kuat dan dibalas dengan gelak ketawa oleh sesetengah pelajar. Kepada pelajar-pelajar baru yang agak nakal, mereka seakan sudah tahu siapa yang layak menjadi ikutan mereka di asrama selepas ini. Pelajar seperti ini menganggap tindakan Rizal sesuatu yang ‘cool’ dan membanggakan. Mereka adalah antara golongan yang mewarnai kehidupan di asrama dan sekolah. Warna-warna gelap yang mereka hasilkan boleh mengubah pemandangan dan keindahan sesebuah sekolah yang akhirnya akan membawa kepada runtuhnya reputasi sekolah itu di mata masyarakat. Itulah yang Noor sedang fikirkan. Tiba-tiba saja fikiran Noor melangkau jauh dari had umurnya. Dia rasakan yang dia perlu mengatasi masalah itu. Sepertinya timbul satu tanggungjawab dalam dirinya yang dia sendiri tak tahu siapa yang memberi tanggungjawab itu kepadanya. Ketika Noor melayari pemikirannya, Sulaiman mengarahkan mereka bertiga berkumpul di dewan makan bagi membincangkan tugasan mereka. Manakala perhimpunan pelajar baru diserahkan kepada Cikgu Radin, salah seorang guru warden asrama. Tugasan mereka akan dibantu oleh Sulaiman sendiri dan beberapa Senior lain. Dalam perjalanan ke dewan makan asrama, Rizal asyik memandang ke arah Noor. Tetapi tak dihiraukan oleh Noor. Kadang kala Rizal mengusik Noor dengan kata-kata. “Budak Pandai, kau tipu aku ye?” “Tipu apa bendanya…” Jawab Noor sambil mengerutkan dahi dan memandang sipi ke arah Faizal. “Apsal kau tak bagitau yang kita ada tugasan. Mati-mati aku ingat korang berdua tadi datang lewat jugak. Kau saja nak kenakan aku ye, budak pandai…” Rizal menuding jari ke arah pipi Noor. “Memang tak baik kenakan orang. Tapi dalam kes kau, dibolehkan. Pasal kau ni budak jahat!” Selesai menjawab pertanyaan Rizal, Noor mempercepatkan langkah supaya Rizal ketinggalan di belakangnya dengan harapan Rizal tak mengejar dan mengacaunya lagi. “Aik, Aku panggil dia budak pandai, dia cakap aku budak jahat pulak..” Rizal berkata seorang diri di belakang Noor yang meninggalkannya beberapa langkah ke hadapan. Harapan Noor supaya tak diganggu Rizal berkecai apabila Rizal kembali berada di sisi Noor tak lama kemudian. “Budak pandai!” Sergah Rizal dari sebelah kiri Noor. “Ya Allah! Apa lagi Budak jahat ni nak… Nak aku report kat Abang Sulaiman kat depan tu?!” Sentak Noor agak kuat sehingga Syafiq yang berada jauh dihadapan mereka berdua menoleh ke belakang. Mujur Sulaiman dan beberapa senior lain yang baru dipanggil oleh Sulaiman tidak mendengar suara Noor kerana sudah berada terlalu jauh dari mereka. “Nak report? Silakan… Aku sedia menerima hukuman darimu budak pandai…” Rizal bersuara seperti pelakon drama latin yang dialih suara ke Bahasa Melayu. Noor memberhentikan langkahnya secara mengejut. Wajah comelnya berubah menjadi ganas sedikit. Dia memandang tepat ke arah mata Rizal dengan pandangan yang tajam. Darah yang mengalir di tubuh Noor bagaikan menggelegak kepanasan. Kenapa dia diberi tugasan dengan budak yang tak faham bahasa dan bersikap kurang sopan begini. Ikutkan hatinya dia mahu meletakkan syarat jika warden mahu Noor memikul tugasan itu. Syaratnya ialah…Buang pelajar yang bernama Rizal dari sekolah!! Namun pada rizal, renungan tajam Noor itu bagaikan satu panahan busur bidadari yang tepat mengenai hatinya. Dia tak hiraukan kemarahan Noor yang sedang membuak-buak. Baginya, Noor kelihatan sama saja dalam apa jua ekspresi wajah Noor. Tetap comel, cantik, dan menawan. Dalam pada renungan Noor itulah kesempatan diambil oleh Rizal memerhatikan setiap pelusuk wajah Noor yang dikelilingi kain tudung bewarna pink. Kulit wajah yang putih kekuningan, kening yang lebat dan seakan-akan tercantum di antara keduanya, pipi bak pauh dilayang, hidung mancung yang tak keterlaluan, bentuk bibir yang begitu cantik jika mengukir senyuman, dan akhir sekali… Pap!!! Tapak tangan yang lembut tapi pedih kalau dilayangkan ke muka. Tamparan tangan kanan Noor tepat mengenai pipi kiri Rizal yang sedang asyik memandangnya. “Nak lagi? Kalau nak cakap je… aku sanggup luangkan masa untuk menampar kau. Kalau kurang sakit, kau suruh aku hempuk muka kau guna Kamus Dewan kalau kau ada masa.Ok?!” Noor tersenyum puas menampakkan susun atur giginya lalu berlalu dari situ. Satu lagi keindahan pada wajah Noor terserlah di mata Rizal. Gigi taring Noor yang agak menonjol. Ianya menambahkan senyuman Noor berkali-kali ganda manisnya dari senyuman perempuan lain. Rizal mengusap-usap bekas jurus tamparan wanita yang baru diterimanya sebentar tadi sambil memerhatikan gelagat Noor yang berlalu pergi. Dia tersenyum puas kerana diberi peluang menatap wajah Noor walaupun berakhir dengan satu tamparan. Syafiq yang melihat kejadian itu hanya tersenyum kerana dia memang seorang yang pendiam. Rizal meneruskan langkahnya ke dewan makan. Gigi taring Noor yang baru dilihatnya tadi terngiang-ngiang di matanya. “Ianya takkan berakhir di sini, budak pandai..” Rizal berkata sendirian. Nampaknya Rizal dah naik angau. Semangatnya untuk mendekati Noor semakin membuak-buak. Hatinya yang dulu terasa berat untuk tinggal di asrama sudah bertukar menjadi seringan kapas dek penangan tamparan Noor sebentar tadi. Nampaknya asrama akan menjadi medan untuk berperang memenangi hati seseorang. Hal pelajaran diletakkannya di tempat kedua. Yang penting sekarang, bagaimana caranya supaya Noor tunduk kepada dirinya. Perbincangan di dewan makan asrama berjalan dengan lancar. Seperti yang telah di duga oleh panel yang ditugaskan untuk memilih tiga pelajar Tingkatan Satu untuk mengendalikan majlis penutup minggu orientasi, ketiga-tiga pelajar itu menunjukkan komitmen yang di luar dugaan. Terutamanya Noor yang paling banyak menyumbangkan idea yang bagi mereka sudah terbayang kemeriahan majlis itu. Rizal yang tadinya bersikap kurang sopan di perhimpunan, mula menunjukkan belangnya dalam memberi buah fikiran. Sebenarnya dia seorang pelajar yang berbakat, tetapi bermasalah dalam sikap dan kelakuan. Noor terpegun seketika apabila Rizal memberi cadangan dalam perbincangan itu. Setiap kali selesai memberi idea, Rizal akan memandang ke arah Noor dan tersenyum bangga. Noor membalas dengan cebikan bibir apabila Rizal tersenyum ke arahnya. Dalam majlis penutup itu nanti, Rizal telah menawarkan diri untuk membuat persembahan nyanyian. Dia mempelawa Noor untuk turut sama menyanyi dengannya tetapi Noor menolak pelawaan tersebut. “Maaf, suara saya tak sedap. Awak carilah orang lain.” Noor menolak dengan baik di hadapan semua yang ada di situ. Kalau ikutkan hatinya, mahu saja dia menampar Rizal buat kali kedua. Tak malu ke Rizal mempelawa dirinya di depan senior-senior yang ada di situ? Sia-sia je kena gossip lepas ni. “Ooo.. Tunjuk terror nampak. Kau ingat aku tak reti satu ape pun dalam seni ye!?” Bisik hati Noor seraya mengangkat tangan untuk memberi cadangan. “Saya rasa saya pun nak buat persembahan. Tapi persembahan tarian kebudayaan. Saya akan mengajar beberapa orang rakan saya tarian Zapin yang pernah saya belajar dulu.” Noor juga tak mahu mengalah pada Rizal. Sedar yang nyanyian bukanlah bidang kepakarannya, dia akan mempertaruhkan tarian Zapin untuk bersaing dengan Rizal. Di kampungnya, Noor adalah salah seorang penari Zapin yang dibimbing oleh Puan Rahmah iaitu seorang guru pencen. Kumpulan tarian itu sering kali mendapat jemputan ke majlis kenduri kahwin di dalam atau di luar kampung. Ferdi kerap mengikuti Noor ke rumah Puan Rahmah untuk latihan tarian. “Kamu tak nak buat persembahan juga Syafiq?” Tanya Norsila yang merupakan penolong ketua asrama II yang turut sama dalam perbincangan itu. “Tak kak… Saya apa pun tak pandai.” Jawab Syafiq sambil membetulkan cermin matanya. “Apa kata kau join Noor punya team menari Zapin?” Tiba-tiba Rizal bersuara dan mendapat sambutan gelak ketawa dari beberapa senior di situ. Tetapi tidak Si Kapten Asrama. “Rizal!” Sulaiman memandang Rizal dengan wajah amaran. Rizal meneruskan gelak dengan menutup mulutnya. Noor pun turut sama memandang Rizal sama seperti Sulaiman. Masuk kali ni sepatutnya dah tiga jurus hinggap di muka budak nakal itu. Apakan daya situasi tak mengizinkan. Perbincangan selesai setelah ketiga-tiga pelajar baru itu diberikan tugasan masing-masing. Mereka bertiga dibenarkan pulang ke bilik masing-masing memandangkan waktu kelas prep tinggal beberapa minit sahaja lagi. Dalam perjalanan pulang ke bilik Noor tidak diganggu lagi oleh Rizal kerana Noor berjalan bersama Norsila yang sama bilik dengan Noor. Lega hati Noor. “Akak nampak si Rizal tu lain macam je dengan Noor.” Norsila tba-tiba bersuara setibanya di pintu masuk asrama puteri. “Ye ke Kak? Saya tak perasan pun.” Jawab Noor sambil mengerutkan dahi. “Alah… Akak tahulah. Dari pandangan mata Rizal akak boleh baca yang dia macam ada minat kat kau.” Sambung Norsila lagi. “Nahas aku. Boleh jadi aku digosip jap lagi ni.” Bisik hati Noor yang memang tak suka dengan perangai Rizal. Lagi-lagi Norsila adalah pemimpin di asrama. Mesti dia antara yang berpengaruh. “Ala… Biasalah tu. Pelajar cemerlangkan kan… Mesti ramai peminat. Lagi-lagi muka cute macam Noor ni. Jap lagi mesti meletup punya.” Norsila memuji Noor. “Akak jangan kecoh pulak kalau si Rizal tu betul-betul minat kat saya. Saya tak nak la kak digosip dengan dia. Dia jahat. Saya tak suka dia.” Jelas Noor pada Norsila. “Sikap manusia boleh berubah dari baik menjadi buruk. Begitu juga sebaliknya. Akak rasa dia akan menjadi budak yang baik sekiranya Noor pun suka kat dia. Kalau tak percaya, cubalah…Dia pasti berubah demi Noor. Lagipun Rizal tu pun boleh tahan jugak. Kulit hitam manis…Nampak matang… Cuma ada masalah sikit dengan perangai dia. Itu semua boleh settle.” Norsila bagaikan memberi galakan pada Noor untuk mendekati Rizal. “Kalau berubah dengan hati yang tak ikhlas pun tak guna kak. Takut nanti dia kembali dengan perangai lamanya sekiranya saya terima dia. Itu pun kalau saya terima. Tapi… Ianya tak mungkin terjadi walaupun dia berubah dengan ikhlas.” Balas Noor dengan pendapatnya yang boleh diterima oleh akal Norsila. “Bunyinya macam Noor dah ada yang punya je..” Norsila mengesyaki sesuatu. “Eh..! Akak ni… Mana ada.” Noor menyembunyikan hubungannya dengan Ferdi. “Ok… Akak bagi pendapat je. Jangan Marah tau. Noor masuk bilik dulu Akak nak ke bilik Pengawas jap.” Norsila menuju ke satu bilik di tingkat satu Blok D. Manakala Noor menyusuri tangga untuk menuju ke biliknya di tingkat dua. Jam menunjukkan pukul 10.55 malam. Lima minit lagi loceng asrama akan berbunyi menandakan tamatnya waktu prep. Noor memanjat ke atas katilnya. Di bawah adalah katil temannya yang bernama Amiroh. Noor meniarap sambil menghadap tingkap yang berada di sebelah katilnya. Sekaranglah masa untuk teringatkan kampung halaman. Ayah, ibu dan abang-abangnya terbayang-bayang di matanya. Halaman rumah tempat dia selalu bermain pun turut sama mewarnai ruang matanya. Teringat kenangan manis yang di lalui semasa di kampung. Sungguh menyentuh kalbu. Noor tersenyum seorang diri sambil mengusap air mata yang bergenangan di kelopak matanya. Apa boleh buat. Semuanya ditinggalkan demi mengejar cita-citanya. Ok… Cukuplah dia mengenang semua itu. Sekarang tiba masanya mengingati insan yang paling bermakna dalam hidupnya. Dia sengaja mengasingkan kenangannya bersama Ferdi supaya tak bercampur aduk dengan kenangan yang lain. Dengan ini dia dapat mengingati Ferdi dengan lebih mendalam dan ini adalah tanda yang Ferdi terlalu istimewa di hatinya sehingga dalam ingatannya Ferdi diletakkan di tempat yang begitu tinggi supaya tiada sesuatu pun dapat menggangu khayalannya terhadap Ferdi. Noor ingat akan pesan Ferdi supaya Noor belajar dengan rajin dan jangan mencintai orang selain dirinya. Noor bertekad untuk mengotakan janjinya walau apa rintangan sekalipun. Ferdi adalah insan teristimewa didalam hidupnya. Dialah cinta pertama Noor. Dialah motivator pertama Noor yang sentiasa bersama dirinya dalam apa keadaan sekalipun. Ferdi jugalah kaunter aduan peribadi bagi apa jua masalah yang berkaitan dirinya. Dalam keasyikan Noor melayani perasaannya, wajah Ferdi yang terhologram di depan matanya bertukar menjadi seraut wajah yang baru dikenalinya. “Kenapa dia ni menyibuk dalam angan-angan aku? Tiba-tiba je muncul tanpa diundang.” Noor berbisik seorang diri. Rizal… Seorang budak pintar yang tak makan saman. Kurang ajar dengan sesiapa sahaja. Malah suka menyakitkan hati orang. Itulah definisi yang Noor dapat tentang budak yang bernama Rizal. Tak mungkin dia akan menyukai Rizal walaupun bak kata Norsila Rizal seorang budak yang cute, manis dan matang. Tetapi terfikir pula kata-kata Norsila sebentar tadi. Mungkin Rizal akan berubah bila Noor menerima cinta Rizal. Ya… Kemungkinan itu tetap ada. Tak kira perubahan itu ikhlas atau sebaliknya. Tetapi itu bukan alasan Noor untuk berpaling dari cinta Ferdi. Norsila tak bersalah dalam hal ini. Dia hanya memberikan pendapat sahaja. Sedangkan keputusan di tangan Noor. Lagipun Norsila tak tahu hubungan Noor dengan Ferdi. Jika dia tahu, mungkin dia tak berkata begitu di depan Noor. “Hei! Noor Aziah!” “Ya Allah ya tuhan ku!” Noor terkejut gila apabila belikatnya dihinggapi sebentuk tapak tangan. Rupa-rupanya semua pelajar asrama sudah masuk ke bilik masing-masing. Loceng dah pun berbunyi beberapa minit yang lepas. Noor tak sedar semua itu akibat lamunannya yang agak hebat. Lupa segalanya. Padahal penduduk perumahan yang berdekatan pernah membuat aduan tentang bunyi loceng asrama yang menggangu tidur mereka di waktu malam dan pagi. “Jauhnya terbang.Dah sampai kampung halaman ke?” Amiroh berseloroh sambil memanjat katil Noor. “Dah nak balik asrama dah pun.” Jawab Noor yang bangkit dari baringnya. “Kau nak tau tak Noor, Rizal yang berdiri dengan kau di depan tadi tu satu kelas dengan aku.” Amiroh memberitahu Noor sambil membuka tudungnya. “Tau dah.” Jawab Noor selamba. “Aku tengok dia lain macam je pandang kau tadi. Bukan aku seorang tau yang cakap. Ramai lagi budak yang cakap.” Sambung Amiroh lagi. Kali ni dia menanggalkan serkupnya pula. “Eh! Apasal semua orang sama je? Baru tadi Kak Norsila cakap macam tu jugak. Tolonglah… Aku tak nak digosip dengan dia. Aku rela tukar sekolah kalau aku dikaitkan dengan dia lepas ni.” Nampaknya Noor betul-betul marah kali ni. Bukan pada Amiroh, tapi pada Rizal. “Ala Noor… Kenapa macam tu sangat. Ok apa dia tu. Hensem…Pandai…Kau pulak cantik… Bijak… Korang banyak persamaan tau.” Suara Alice pula kedengaran di bawah Noor dan Amiroh. “Korang tak nampak tadi betapa kurang ajarnya budak tu di depan Abang Sulaiman dan Guru Warden. Budak macam tu yang korang nak aku kawan?” Noor membantah sekeras-kerasnya pendapat dari kawan-kawannya. “Kau boleh nasihatkan dia. Kalau Si Rizal tu betul sukakan kau, dia mesti ikut cakap kau. Perangai boleh diubah, Noor.” Sambung Farisya yang baru selesai meletakkan beg di atas katilnya yang bersebelahan dengan katil Noor dan Amiroh. Kelihatannya bukan Norsila saja yang berpendapat begitu. Rakan-rakan sebiliknya juga sama menyokong jika Noor berkawan rapat dengan Rizal. Ini menunjukkan pandangan kebanyakan pelajar lain mungkin juga sama seperti mereka. Kecuali mereka yang ada hati dengan Rizal atau Noor. “Rizal ni nak kena dengan aku. Yang dia jeling-jeling aku depan orang ramai tu apasal? Matilah aku lepas ni. Mati.. Mati!” Noor menggelengkan kepala membayangkan apa yang akan berlaku lepas ni. “Korang berdua antara pelajar Tingkatan Satu yang terawal menjadi pelajar popular di asrama ni tau. Kau terkenal kerana populariti ka dari dulu lagi. Rizal pulak pasal insiden selamba dia tadi. Kau orang berdua boleh jadi couple yang sesuai tau.” Ila yang mendengar perbualan mereka turut sama mengambil bahagian. Amiroh, Alice dan Farisya menganggukkan kepala tanda setuju dengan kata-kata Ila. Noor menyedari niat rakan-rakannya bukan untuk mengejek atau mengajar sesuatu yang tak elok. Jika difikirkan dalam-dalam, tiada sebab untuk Noor memarahi rakan-rakannya itu. Ada betulnya kata-kata mereka. Tapi…Ferdi? Noor tiada pilihan lain. Dia terpaksa berterus-terang dengan rakan-rakannya. “Korang sini semua, aku nak bagitau korang sesuatu…” Noor menarik tangan Alice, Farisya dan Ila yang berada di bawahnya. “Terima kasih atas nasihat korang ye. Aku hargaiiii.. sangat. Tapi, Aku…. Dah ada… yang punyaaa!!” Noor berbisik dekat dengan telinga mereka berempat. “Ooo…. Patutlah…” Jawab mereka berempat serentak sambil ketawa. Kini baru mereka faham kenapa Noor dengan sedaya upaya membantah semua cadangan mereka. Kebetulan ketika itu Norsila masuk ke bilik dan mendapati ada lima orang pelajar Tingkatan Satu sedang ketawa dengan agak kuat. “Kenapa korang ni? Happy semacam je…” Norsila mendekati Mereka dengan kerut di kening. Tanpa segan silu Noor menceritakan apa yang dilucukan oleh mereka berlima kepada Norsila. Amiroh, Alice, Farisya dan Ila kecut perut melihat ketua Asrama Puteri terpacak dihadapan mereka. Mereka agak hairan kenapa Noor selamba membonkar perkara sebenar kepada seniornya. Ketua Asrama Puteri pulak tu. “Patutlah…!” Norsila pun tergelak setelah mendengar cerita Noor. Keempat-empat rakan Noor yang tadinya ternganga turut ketawa bersama Norsila dan Noor. “Apasai tak habaq!!” Diam tak diam malam penutup Minggu Orientasi akan berlangsung sebentar lagi. Orang yang paling sibuk ketika itu tak lain tak bukan adalah Noor, Rizal dan Syafiq. Merekalah yang mengatur majlis penutup itu dari agenda hingga ke perjalanan majlis. Beberapa hari sebelum itu Noor sudah mula sibuk dengan team tariannya. Lima orang penari semuanya termasuk Noor. Noor memilih Amiroh, Alice, Ila dan Farisya iaitu rakan sebiliknya untuk menjayakan persembahan tarian itu. Noor juga sibuk berbincang dengan Rizal dan Syafiq setiap malam bagi menjayakan Malam penutup itu. Pernah sekali Syafiq tidak dapat hadir perbincangan pada satu malam. Hanya Noor dan Rizal saja yang berbincang sambil diperhatikan oleh beberapa senior lain termasuk Sulaiman dan Norsila. Ingin saja rasanya Noor angkat kaki pada malam itu, tapi memandangkan senior-senior ada di situ terpaksa Noor meneruskan perbincangan dengan budak yang tak di sukainya itu. Seperti biasa Rizal akan cuba membuat Noor tertarik padanya. Kali ini dia kelihatan lebih sopan dan menunjukkan prestasi sebagai seorang pemimpin yang berkebolehan. Boleh dikatakan sikapnya telah berubah. Sulaiman yang selalu mendenda Rizal kerana masalah disiplin di awal-awal kemasukannya ke asrama kini berasa hairan dengan perubahan drastik itu.Sebaliknya Noor kelihatan tenggelam di balik pencapaian Rizal. Bukan apa, Noor tak berapa selesa bekerjasama dengan Rizal. Dia membiarkan saja Rizal dengan keunggulannya. Bagi Noor niat Rizal tak lain dan tak bukan adalah untuk menarik perhatiannya sahaja. Ini kerana Noor pernah menelefon Ferdi pada hari ketiga dia di asrama dan Ferdi menceritakan kejadian yang dialaminya di tandas pada hari pertama persekolahan. Ferdi meminta Noor memberi gambaran wajah serta fizikal Rizal dan terbukti pelajar yang menjengkelkan itu tak lain dan tak bukan adalah Rizal, adik kepada Mislia. Sejak dari itu semakin membuak-buaklah bencinya Noor pada budak yang bernama Rizal. Tunjuklah baik macamana sekalipun… Noor takkan berganjak dari pendiriannya. Takkan beri muka pada Rizal. Lagi-lagi Ferdi yang menjadi mangsa sikap kurang ajarnya itu. Ferdi juga telah menasihatkan Noor supaya menjauhi Rizal yang Noor sudah memaklumkan kepadanya bahawa Rizal cuba mendekati Noor. Marah betul Ferdi pada Rizal. Kalau terjadi apa-apa pada Noor yang disebabkan oleh Rizal, tahulah apa yang akan dibuatnya. Tak kiralah dia tu adik siapapun. Setengah jam sebelum majlis berlangsung, Link - Posted by DdSulaemanRa'e

2 comments:

Anonymous said...

mane sambungan nyer?
citer ni menarik :)

Dd Chronicle said...

Setelah Sekian lama, baru ade org ckp best. Tq! Nk sambung ke? Mungkin lmbt lg kot. Sibuk ngn jadid raudhah dan hyperzia.